Monday, February 28, 2011

YAHUDI VS PALESTIN

Nasib Bangsa Yahudi (Era Nazi)

Aku bolehlah dikatakan peminat fakta sejarah tamadun manusia khususnya tentang sejarah Perang Dunia ke-2. Walaupun perang itu sendiri sebenarnya adalah tindakan manusia yang tidak bertamadun. Manusia yang bertamadun penuh dengan jati diri, bersikap baik sesama manusia tanpa mengira kaum dan agama, menolak kekejaman dan hidup mengikut peraturan.
Hanya perang menentang pencerobohan dikira suatu perbuatan bermaruah. Perang untuk mempertahankan negara yang berdaulat, agama dan bangsa dari dicerobohi musuh. Mungkin disebabkan itulah kesemua pasukan tentera dari pelbagai negara didunia ini diletakkan dibawah kawalan Kementerian Pertahanan ataupun Ministry of Defence, bukannya Kementerian Peperangan ataupun Ministry of War. Ia lebih kelihatan 'bermaruah' walaupun sesetengah negara secara terang-terangan 'melacurkan' maruahnya sendiri dengan menyerang negara lain.

Channel National Geographic baru-baru ini menyiarkan dokumentari tentang 'Nazi Death Squad' yang beroperasi di Eropah semasa penguasaan Hitler di sebahagian besar benua tersebut pada tahun 1939 hingga 1942. Iaitu ketika berlangsungnya Perang Dunia Ke-2. 'Nazi Death Squad' juga dikenali dengan nama 'Einsatzgruppen' ataupun pasukan 'gerak khas' berada dibawah naungan pasukan 'Schutzstaffel' (SS) Nazi. Ia diarahkan oleh Obergruppenführer Reinhard Heydrich iaitu timbalan kepada Heinrich Himmler. Tugas utama 'Einsatzgruppen' ini adalah untuk menghapuskan secara total seluruh bangsa Yahudi, Gipsi dan pendukung politik Soviet Union.

Ditunjukkan semasa dokumentari itu sebuah rakaman video lama yang diambil semasa operasi pembunuhan beramai-ramai bangsa Yahudi. Rakaman yang diambil sendiri oleh salah seorang pegawai tentera Nazi ini menunjukkan sebuah lori kecil berisi 5-10 orang lelaki bangsa Yahudi yang dipaksa turun dan diarahkan berlari menuju ke dalam sebuah parit sedalam 6-7 kaki. Mereka ini kemudiannya dipaksa berbaris membelakangkan skuad penembak Nazi pada jarak lebih kurang 2-3 meter. Tidak lama kemudian tembakan dilepaskan dan mereka ini rebah ke bumi. Mayat ini kemudiannya dikambus serta merta. Kumpulan lelaki Yahudi berikutnya akan menyusul masuk ke dalam parit maut ini. Sehingga dicatatkan jumlah bangsa Yahudi yang terkorban pada peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Babi Yar mencecah angka 33,771 orang dalam masa dua hari sahaja. Ini tidak termasuk peristiwa di Rumbula dimana seramai 25,000 bangsa Yahudi dibunuh dengan kejam, juga dalam masa dua hari.


Gambar bangsa Yahudi ditembak oleh Einsatzgruppen. (Ihsan Google)

Peristiwa pembunuhan bangsa Yahudi secara besar-besaran di Eropah ini kemudiannya digelar sebagai Peristiwa Holocoust. Dimana menurut statistik Barat, dipercayai hampir enam juta bangsa Yahudi dibunuh oleh tentera Nazi secara sistematik.
Kekejaman Nazi ini adalah diluar batasan manusia. Manusia yang dicipta dengan fikiran yang bijak serta mampu membezakan antara baik dan buruk sanggup membunuh spesisnya sendiri walaupun berlainan bangsa atas sebab ideologi gila Adolf Hitler. Pertumbuhan ideologi ini boleh dibaca pada naskah Mein Kampf tulisan Adolf Hitler sendiri.

Nasib Bangsa Palestin (Era Zionis)

Dokumentari 'Nazi Death Squad' sememangnya berjaya meruntun simpati sesiapa sahaja. Memang benar mangsa adalah bangsa Yahudi yang sekarang mendiami negara haram Israel. Namun sebagai seorang manusia yang waras, tindakan tentera Nazi itu tidak boleh diterima akal. Lebih mengharukan lagi apabila melihatkan kanak-kanak dan juga bayi yang tidak mengerti apa-apa ditembak dengan kejam.

Namun, perasaan itu reda apabila mengingatkan kekejaman tentera Zionis Israel memperlakukan perkara yang sama terhadap bangsa Palestin. Kita tidak akan boleh lupa pada peristiwa pembunuhan beramai-ramai para pelarian Palestin di Kem Sabra & Shatila di Lubnan oleh puak Kristian Phalagists Lubnan dengan kerjasama tentera Israel. Pada 16-18 September 1982, Tentera Israel bertindak mengepung kawasan kem sementara puak Kristian Phalagists Lubnan 'menyelesaikan' semua pelarian palestin didalamnya. Sumber menyatakan bahawa seramai 350 sehingga 3500 orang pelarian Palestin telah dibunuh dengan kejam. Seorang pemimpin tentera Israel yang pastinya berketurunan Yahudi bernama Ariel Sharon adalah watak utama disebalik peristiwa berdarah ini.

Sharon bersama dengan Ketua Turus Tenteranya Rafael Eitan bertemu dengan pemimpin puak Kristian Phalagists Lubnan untuk merancang pencerobohan keatas kem pelarian Sabra & Shatila. Sharon memberitahu bahawa pejuang palestin bertanggungjawab membunuh pemimpin mereka iaitu Bashir Gemayel. Tugas puak Kristian Phalagists pimpinan Elie Hobieka ini adalah menceroboh kem, tangkap pejuang palestin yang terlibat dan serahkan kepada Israeli Defence Force (IDF).

Kemudiannya 1500 militia atas arahan Elie Hobieka berkumpul dan dibawa ke kem dengan bantuan logistik IDF. Unit pertama seramai 150 militia memasuki kawsan kem sementara tentera Israel mengawal perimeter kem tersebut. Pertempuran meletus tidak lama kemudian antara pejuang Palestin dengan militia Kristian Phalagists. Pihak Israel memberikan bantuan seperti menembak 'illuminating flares' diruang udara kem tersebut. Diberitahu oleh saksi iaitu seorang jururawat Belanda "kem tersebut terang seperti stadium ketika perlawanan bolasepak berlangsung".


'Pesta darah' itu berterusan sehingga ke tengah malam. Ibu pejabat IDF di Barat Beirut diberitahu bahawa hampir 300 orang telah terbunuh. 36-48 jam berikut menyaksikan militia Kristian Phalagists terus 'menyembelih' pelarian Palestin yang tidak berdosa. Satu catatan menyebutkan seorang militia bertanya kepada komander mereka akan apa tindakan yang patut diambil keatas wanita dan kanak-kanak? Hobeika berkata "Jangan ditanya lagi soalan begini, kamu sepatutnya tahu apa yang perlu dilakukan". Ia disambut dengan gelak ketawa oleh para militia. Apakah nasib para wanita dan kanak-kanak ini? Sudah pasti mereka turut menjadi mangsa sembelihan syaitan bertopengkan manusia ini. Mungkin juga mereka diseksa dan dirogol sebelum dibunuh.














Mayat pelarian palestin yang dibunuh (Ihsan Google)

Mayat-mayat yang bergelimpangan kemudiannya dilupuskan untuk menghilangkan bukti. Rumah-rumah pelarian dirobohkan dengan jentera berat sumbangan IDF. Di akhir peristiwa, seramai 350 sehingga 3500 pelarian 'berjaya disembelih' oleh puak militia Phalagists.
Tentera Nazi memang kejam kerana menembak bangsa Yahudi dalam usaha menghapuskan bangsa tersebut dari muka bumi. Akan tetapi bangsa Yahudi Israel berkali ganda lebih kejam dengan mengatur penyembelihan pelarian Palestin. Mereka diseksa, disembelih tanpa belas ihsan. Mayat mereka disodok dengan jentera berat hingga ada yang berkecai tanpa dapat dikenal pasti lagi.

Mengenangkan peristiwa Sabra & Shatila ini, juga akan apa yang dilakukan oleh Yahudi Israel terhadap bangsa Palestin sejak tahun 1948, aku dah tak berasa kasihan lagi pada nasib bangsa Yahudi yang dibunuh tentera Nazi semasa Perang Dunia Ke-2 dulu.

Sunday, February 27, 2011

ANIMAL PLANET

Pukul 8 tepat aku memang dah terpacak depan tv dengan remote Astro ditangan. Aku 'On' tv & aku pilih channel tv untuk tengok berita perdana. Nak tau apa cerita Malaysia hari ni. Apa cerita revolusi kat Libya tu.

Oh, nampaknya berita penunjuk perasaan Hindraf kat K.L keluar dulu. Ok..Ok...bagus..tangkap je semua masuk lokap sebab ini kumpulan yang tersangat rasis dalam Malaysia. Berita seterusnya...PRK Kerdau & Merlimau. Oh, ok jugak sebab sekurang-kurangnya aku tau perkembangan terkini PRK terbaru ni.

Tapi aku heran la, apesal dari tadi berita perdana ni laporkan pasal parti A je. Parti B dia cerita jugak tapi memang stok 'hantam' gile-gile punya la. Hampir 15 minit jugak sesi 'bodek' melampau ni tersiar. Oh, kalau tak 'bodek' tak boleh survive bro...ok..ok...aku faham. Teruskan membodek, aku tengok channel Animal Planet lagi bagus.


Monday, February 21, 2011

PASALUBONG

Pagi ni aku dan geng-geng se'offoice' dapat 'pasalubong' dari seorang staf Philipinos bernama Mary Ann. Pasalubong bermaksud ole-ole dalam bahasa Tagalog menurut kata Larry yang duduk sebelah meja aku. Larry adalah Philipinos jugak dan pernah bekerja dengan Aramco di Arab Saudi.


Ada tiga paket kecil junk food kekacang yang dia bagi. Dua paket berjenama 'Happy' dan satu paket berjenama 'Sunshine'. Hanya satu paket sahaja berlogo halal (Philipines Muslim Council) iaitu paket berjenama 'Happy' dengan bungkusan berwarna biru. Selebihnya tidaklah diketahui halal haramnya. Maka yang selebihnya aku berikan pada Dexter (office mate Philipinos) sejurus selepas Mary Ann beredar.
'Pasalubong' yang aku dapat

Orang Philipino selalunya akan bawak ole-ole bila mereka balik dari Filipina. Antara ole-ole yang famous adalah 'Boy Bawang', sejenis kekacang yang digoreng dengan rasa MSG yang sangat kuat. Aku tak tau berapa sudu MSG yang digaul dengan kekacang ini. Tiada logo halal tapi aku pernah 'balun' beberapa paket sebelum ni. Ole-ole lain adalah 'Cebu Mango' iaitu hirisan buah mangga separuh kering. Aku tak pernah sama sekali mencuba 'Cebu Mango' walaupun ada tertera logo halal. Rupanya pada aku macam tak sedap untuk dimakan tetapi geng-geng yang lain suka sangat makan 'Cebu mango' ni.


Ada lagi 2-3 jenis makanan yang mereka bawak sebagai ole-ole. Kebanyakannya aku ragu-ragu nak makan sebab tak dinyatakan apa isi kandungannya.

REALITI

Di Malaysia terdapat banyak stesen TV yang prihatin. Sangat prihatin dan bertanggungjawab dalam hal mencari bakat-bakat baru dunia nyanyian. Bakat-bakat yang akan memeriahkan pesta Hedonism masa hadapan. Siapa tak tahu Akademi Fantasia 9, Malaysian Idol ataupun Mentor boleh dianggap ketinggalan zaman. Orang semacam ni hampir pasti rumahnya termasuk jiran-jiran sekeliling tiada mengandungi peti TV. Ataupun mereka punya peti TV tapi bekalan eletrik sudah dipotong. Lebih sadis lagi kalau mereka buat pengakuan yang mereka tak pernah membaca walau senaskah pun surat khabar sepanjang hayat mereka. Dan macam-macam alasan lagi untuk kata "Hah! Mentor? Akademi Fantasia? Malaysian Idol? Apa benda tu?"

Adapun tujuan aku bersusah payah menaip bukanlah untuk bercerita perihal rakyat marhaen yang hidup susah tanpa punya kemudahan peti TV. Bukan juga untuk membebel tentang kurangnya kesedaran peri penting tabiat membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia. Apatah lagi untuk berceramah kepada pihak TNB supaya sentiasa membekalkan bekalan elektrik kepada golongan kurang mampu dengan alasan ia adalah tanggungjawab sosial mereka. Bukan...bukan...bukan..

Apa yang aku cuba lontarkan disini adalah gelagat anak muda yang bercita-cita tinggi untuk menjadi penyanyi tersohor. Mereka diberi peluang oleh stesen-stesen TV untuk menonjolkan bakat yang ada. Walau sebahagian besarnya memang tiada bakat langsung tetapi gigih juga mencuba nasib. Mungkin rakan-rakan sepermainan menggalakkan mereka turut serta dengan alasan suara mereka iras-iras suara Jamal Abdilah atau Zaiton Sameon. Padahal itu hanya sindiran halus supaya mereka berhenti menyanyi kerana suara mereka sebenarnya cuma merdu sedikit dari bunyi enjin lori pasir. Oh, kenapa mereka tidak dapat membezakan antara galakan dan sindiran?

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Memang benar tuah manusia tiada siapa yang tahu. Namun, manusia yang rajin berusaha tanpa jemu biasanya mempunyai tuah. Ruang lingkup dunia yang luas ini menjanjikan seribu satu macam cara yang halal untuk mencari tuah. Dari itu, kita sendiri perlu sedar kelebihan dan kekurangan diri. Jika punya suara yang lingkup tanpa bakat, janganlah kiranya ruang ujibakat Mentor atau Akademi Fantasia hendak diredah. Mungkin kelebihan kita bukan disitu tetapi di bidang perniagaan atau bidang pelajaran contohnya. Maka tidaklah aku ketawa berdekah-dekah menyaksikan gelagat peserta semasa sesi ujibakat pemilihan protege rancangan Mentor itu. Tidaklah juga para mentor dan penilai menahan gelak hingga merah seluruh muka. Mengapa perlu memalukan diri sendiri?

Aku juga sedar diri ini siapa. Tidak mungkin aku akan menyertai sesi saringan Kuiz Teori Kimia peringkat kebangsaan (jika ada) kerana aku amat lembab dalam bidang ke'kimia'an ini. Tidak sanggup rasanya aku ditertawakan oleh para juri dan hadirin dengan jawapan-jawapan yang tak masuk akal. Tidak...tidak...tidak...

Walaupun begitu, aku kagum dengan semangat dan keberanian anak-anak muda ini. Tanpa bakat dan suara yang merdu, mereka dengan selamba menyertai sesi ujibakat. Dengan hati yang terbuka juga menerima apabila mentor mengatakan "Tidak, awak tidak layak". Tidak seperti segelintir dari mereka yang mempertikaikan keputusan yang telah dibuat sedangkan bakat dan suara jelas nyata 'tak boleh blah'.

Kawan-kawan, dunia ini luas. Cabang rezeki itu banyak disediakan untuk kita. Tak perlulah kiranya kita terlebih fokus untuk jadi penyanyi sedangkan suara dan bakat kita tiada.


Saturday, February 19, 2011

BANDAR PENAWAR (sambungan)



Aku pernah publish entry pasal Bandar Penawar tak lama dulu. Sangatlah berbesar hati kerana ada yang sudi baca entry yang aku publish walaupun jelas pembaca tidak berpuas hati. Pembaca memberi komen seperti di bawah:


"What do u expect? traffic jammed all the way...tall building around the city, cavenzi, Ikea or Harvey Norman store.....glamourous boutique around the corner...And the word 'celah semak' for the car workshop....wah!! this is too much.....masuk tempat orang tolong respect sket mulut tu brader....at least Bandar Penawar memberi sumbangan dalam bentuk pelancongan di Malaysia..." (Norlida)


Thanks a lot Ms/Mrs Norlida. Bukan niat aku nak memburuk-burukkan B.Penawar. Itu cuma 1st impression aku bila sampai 'Bandar' Penawar ni. Aku tak harapkan Bandar penawar ni sesak dengan kereta, penuh dengan gedung membeli belah yang begemerlapan menjual barang yang harga macam haram j mahalnya. Bayangkan anda pelancong yang baru sampai ke Bandar Penawar, bila dengar je perkataan 'bandar' automatik anda akan terbayangkan jalan yang agak sibuk, banyak kedai menjual bermacam barangan dan macam-macam lagi. Tapi hakikatnya ia tak seperti itu. Itu sahaja yang aku cuba sampaikan.


Dalam pada tu, aku juga senaraikan beberapa kelebihan Bandar Penawar ni. Antaranya termasuklah tiada langsung masalah traffic jam. Pada aku ia memang satu kelebihan. Aku pun tak suka kesesakan yang melemaskan jiwa. Kadar jenayah pun sangat rendah berbanding bandar-bandar lain yang sinonim dengan jenayah pecah rumah, samun, rompakan dan macam-macam lagi. Bandar Penawar sememangnya wajar digelar bandar selamat. Itu satu kelebihan besar. Walaupun ada beberapa perkara lain yang perlu diperkemaskan demi kesejahteraan penduduknya dimasa hadapan.


Aku juga meramalkan dalam masa 5 ke 10 tahun, Bandar Penawar akan menjadi bandar dalam erti kata yang sebenarnya dengan siapnya lebuhraya Senai-Desaru. Lebuhraya ini akan memangkin kegiatan ekonomi & pelancongan Bandar Penawar yang sebelum ini kelihatan agak lesu. Siapa berani menafikannya?

LORI PASIR (sambungan)

Pagi tadi aku kerja ikut jalan biasa. Sampai satu simpang (mulut aku selalu jadi ringan nak membebel bila sampai simpang ni) 10KM sebelum sampai traffic light Kota Tinggi tu aku rasa pelik. Apesal takde lori pasir yang keluar pagi ni? Selalunya lori pasir akan keluar dari simpang ni ikut selera tekak dia je. Dah berapa kali aku hampir-hampir nak 'hantam' belakang lori pasir kat situ.

Tapi pagi ni suasana jadi sunyi sepi dari hiruk pikuk lori pasir. Adakah disebabkan takde permintaan pasir dari tapak pembinaan sekitar J.B? Ataupun hari ni warga buruh asing di tapak pembinaan melancarkan mogok untuk menuntut kenaikan gaji supaya setaraf dengan gaji aku? Macam mana dia tau berapa banyak gaji aku? Dah berapa banyak soalan merapu keluar dari mulut aku. Misteri lori pasir kekal menjadi teka teki.

Sampai je dekat traffic light Saujana Tiram, 4-5 buah lori pasir tersadai tepi jalan. Beberapa orang driver lori pasir kelihatan mundar mandir. Satu table dengan lampu kecik turut kelihatan dari jauh. Eh, otai mana pulak dengan selamba badak jual DVD pirate kat traffic light pepagi buta ni? Sesekali kelibat lembaga dengan vest pantul cahaya mengikut driver lori pasir dari belakang.
Bila dah dekat baru aku tau perkara sebenar. Rupa-rupanya diorang kena tahan polis daaaaa... Banyak aduan dari pengguna jalan lain pasal lori pasir ni agaknya sampaikan polis buat operasi. Table dengan lampu kecik tu adalah kaunter saman. Aku ingat ada otai jual DVD pirate tadi. Cis! Baru terfikir nak singgah beli DVD criter Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Ooo..patutlah kat simpang tadi takde lori pasir yang keluar masuk. Geng-geng diorang yang dah terkantoi ni inform suruh stop dulu operasi angkut pasir. Pada aku, kalau diorang nak stop terus untuk selama-lamanya pun bagus jugak. Takla aku buang air liur membebel bila sampai simpang tu. Takla aku berusaha keras menekan pedal brek dari menghantam belakang lori pasir.

Wednesday, February 16, 2011

AKADEMI FANTASIA 9

Dulu aku ada banyak kawan kat sekolah teknik. Dalam ramai-ramai tu ada sorang yang pada aku nampak lain dari yang lain. Aku bagi nama samaran Stella la. Kalau aku bagi nama betul, boleh mengaibkan dia pulak ye tak. Dan pada petang tu aku terkena dengan dia. Kisah bermula time habis makan malam hari Khamis. Budak hostel dapat makan sedap-sedap pada petang Khamis ni je. Malamnya akan ada bacaan Surah Yasin beramai-ramai di surau.

On the way nak ke surau, aku nampak Stella duduk sorang-sorang tepi kolam ikan depan dewan makan. Mulut kumat kamit macam tengah hafal doa lepas baca Surah Yasin. Entah macam mana dia toleh kat aku dan terus panggil aku. Ah sudah....

Stella: Cik! (shortform untuk Kecik, nama glamour aku kat teknik) meh la sini kejap...

Aku: Ha Stella, apehal?

Stella: Cik, ko rasa aku boleh nyanyi tak?

Aku: Mana aku tau, aku mana pernah tengok ko nyanyi. (Kejadah apa pulak si Stella ni - kata aku dalam hati)

Stella: Ok Cik, camni... Aku nyanyi sekarang, ko dengar. Lepas tu ko bagi komen sikit.

*Masa ni aku dah rasa macam Nobita yang kena paksa dengar Giant menyanyi lagu sumbang.

Aku: Err...ok..ok..

*Stella pun nyanyi lagu apa entah, aku pun tak ingat. Nasib baik nyanyi sekerat, tak habis.

Stella: Macam mana Cik? Ok tak suara aku?

Aku: Suara ko kira ok la, kalau berlatih lagi aku yakin ko boleh pergi jauh. (padahal suara dia boleh buat ikan dalam kolam tu lemas kekurangan oksigen)

*Aku nak sedapkan hati dia je. Kalau aku condemn nyanyian dia, aku takut aku berenang sekali dengan ikan bandaraya dalam kolam tu.

Stella: Aku bukan apa Cik, aku ingat aku nak jadi penyanyi la.

*Parah si Stella ni. Demam malaria ke apa agaknya dia ni. Sebelum telinga aku berdarah, baik aku cau dulu.

Aku: Ok la Stella, aku gerak pergi surau dulu. Dah lambat ni.

Stella: Rilek dulu Cik, ada lagu lain aku nak nyanyi ni..

*Aku terus jalan tak pandang belakang. Dari jauh aku dengar Stella teriak nama aku Cik..Cik...rilek la dulu.

Benda ni jadi pada tahun 1998. Masa tu Akademi Fantasia belum wujud lagi. Stacy pun tengah sibuk main kejar-kejar belakang rumah dengan kakak dia. Tapi aku dah ada pengalaman jadi pengkritik nyanyian. Sekarang baru aku sedar. Hahahaha!!


KICKDEFELLA

Jarang sekali aku baca entry-entry dalam weblog Kickdefella sebelum aku punya blog sendiri. Kickdefella menjadi perhatian masyarakat apabila melancarkan kempen kibar bendera Malaysia secara terbalik sebagai simbol protes terhadap kerajaan ketika itu. Natijahnya, penulis blog Syed Azidi telah ditangkap polis. Namun dibebaskan selepas sebulan ditahan dengan jaminan polis. Pada ketika itulah pertama kali aku dengar kewujudan blog Kickdefella ini.

Baru-baru ini blog Kickdefella mencetuskan sebuah kontroversi baru dengan membongkar kegiatan pelacuran dan perjudian di Kota Bharu, Kelantan. Seperti yang kita tahu, Kelantan berada di bawah pemerintahan Parti Islam SeMalaysia (PAS) dimana negeri itu dikenali sebagai Serambi Mekah selain dari nama Negeri Cik Siti Wan Kembang. Namun, pembongkaran tersebut mencemarkan imej bandar Kota Bharu sebagai bandar Islam. Adalah mustahil kegiatan pelacuran dan perjudian disitu berlaku dengan rancaknya tanpa pengetahuan Pihak Berkuasa Tempatan. Aku tak mahu tuduh yang bukan-bukan tetapi persoalannya dimana mereka selama ini? Kenapa dibiarkan gejala tak sihat ini berleluasa? Hanya mereka yang ada jawapannya.

*Maklumat lanjut boleh dibaca di dalam weblog Kickdefella sendiri.

Tuesday, February 15, 2011

Hari Kekasih

Hari Kekasih atau Valentines Day adalah tradisi dan budaya orang Eropah yang dah merebak ke seluruh dunia termasuklah Malaysia. Aku pernah baca beberapa artikel tentang sejarah asal usul Hari Kekasih ni. Dan aku rasa hampir semua rakyat Malaysia tau akan sejarah Hari Kekasih ni. Tak perlulah aku cerita panjang lebar sebab aku bukan ahli sejarah ataupun cerdik pandai dalam bidang penyelidikan peristiwa masa lalu. Dan aku bukan juga cerdik pandai dalam bidang agama. Maka adalah lebih baik aku tidak memandai-mandai. Segala yang aku coretkan disini adalah berdasarkan pengalaman dan juga pembacaan aku sendiri.

Apa yang aku nak coretkan disini adalah berkenaan sumbangan Hari Kekasih kepada penduduk Malaysia khususnya bangsa Melayu. Sebetulnya perkataan 'akibat' adalah lebih sesuai. Pada pemahaman aku, 'akibat' bermaksud hasil negatif dari suatu tindakan manakala 'sumbangan' bermaksud hasil positif dari suatu tindakan. Aku memilih perkataan 'sumbangan' dalam coretan ini sebagai elemen sinikal atau sindiran. Bangsa Melayu terkenal dengan kesopanannya maka tutur kata juga tidak dizahirkan secara 'direct to the point' tetapi secara 'halus' melalui sindiran. Kerana coretan ini memfokus pada anak bangsaku juga, bangsa Melayu.

Sumbangan pertama diterima oleh kedai bunga, kedai cenderahati, kedai toy sex dan kedai runcit 24 jam (untuk beli 'pembalut getah' orang lelaki). Keuntungan yang diraih agak tinggi pada musim sambutan Hari Kekasih. Ini kerana ramai pasangan yang sedang hangat bercinta akan membeli hadiah beserta bunga-bungaan kepada pasangan masing-masing dan akhirnya hampir pasti diakhiri dengan 'pesta pembalut getah'. Taukeh kedai sangat gembira ketika ini.

Sumbangan kedua, bertambahnya populasi rakyat Malaysia yang kelahirannya diklasifikasikan sebagai 'tidak sah taraf' akibat kegiatan sumbang para lelaki dan wanita (tanpa hubungan sah) di malam sambutan Hari Kekasih. Bagi bayi yang tidak bernasib baik dan tidak panjang umurnya (dengan izin Allah jua), dia dibuang oleh para wanita yang bergelar ibu (secara tak sengaja). Maka bertimbunlah mayat-mayat bayi tak berdosa ditemui serata Malaysia. Dicampak di kaki lima kedai, dalam longkang, celah tong sampah, atas serambi masjid dan sebagainya. Kalau ada individu yang tertangkap, hampir pasti individu tersebut adalah si ibu tadi. Mana pergi si lelaki? Hilang entah ke mana mencari 'pucuk' baru untuk dijamah. Kasihan wanita, sesuka hati diperlakukan seperti kain buruk. Sudahlah jadi pemuas nafsu lelaki durjana, tanggung seksa melahirkan anak lagi, kena tangkap pun dia.

Sumbangan seterusnya, anak-anak tidak sah taraf yang tidak berdosa hasil kegiatan sumbang para lelaki dan wanita di malam sambutan Hari Kekasih itu akan merana hidupnya. Dia akan disisihkan oleh masyarakat kerana perbuatan keji ibu dan bapanya. Bagi anak lelaki, impaknya kurang sedikit berbanding anak perempuan. Masalah akan terjadi apabila si anak perempuan tadi ingin bernikah. Biasa berlaku rahsia si anak tadi terbongkar di hari pernikahan. Maka, malulah si anak pada dirinya sendiri dan pada ahli keluarga yang lain.

Sumbangan yang paling penting, berjayanya pengaruh Hidonisme barat untuk merosakkan anak remaja kita. Apabila remaja bakal pemimpin masa depan ini rosak, maka mudahlah bagi mereka untuk memerintah dunia. Bersorak sorailah para orientalis barat apabila semua bangsa didunia ini mengikut telunjuk mereka. Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan pernah berhenti memusuhi orang Islam selagi kita tidak mengikuti agama dan cara hidup mereka. Adakah kita ingin membiarkan anak-anak kita menjadi pengikut mereka?

Bukan semua perkara yang dibawa oleh orang barat itu baik. Sebagai bangsa yang telah merdeka selepas dijajah (akibat kesilapan kita sendiri), kita perlu berhati-hati supaya tidak dijajah kembali samada secara fizikal mahupun mental. Para orientalis sentiasa berusaha untuk melemahkan kita dengan pelbagai kaedah yang sangat halus antaranya melalui Hari Kekasih.

Tuhan bagi akal pada kita untuk berfikir kearah kebaikan. Jangan sia-siakan anugerah ini. Jangan kita jatuhkan maruah diri, keluarga, bangsa dan agama.



Saturday, February 12, 2011

LAN KAWANKU

Lan kawan sekelas aku,
Dia sangat friendship wa cakap lu,
Kalau takde kelas tidur dari pagi sampai petang dah tentu,
Lan pandai gebang walaupun perkara tu dia sendiri tak tau,

Pernah sekali kami tengok bola kat TV satu,
Ada player nangis masa game berlaku,
Kami tanya Lan kenapa player nangis lagu tu,
Lan dengan yakin bagitau "Mak dia meninggal la tu"

Walaupun perangai Lan macam tu,
Subjek Civil Engineering banyak jugak yang dia tau,
Kami selalu jugak tanya kalau ada yang terkeliru,
Nasib baik jugaklah Lan nak membantu,
Lan kata "Ha, yang ni ja..yang ni kacang bagi aku"

Pernah aku dengan Lan jadi tak sebulu,
Sebab dia kedekut taknak extend bagi pinjam VCD kat aku,
Aku cakap kat Lan "Taknak bagi pinjam takpe, blah la lu"
Lan buat tak tau dan terus berlalu,
Mungkin dalam hati dia kata "Bukan VCD hang, ni VCD aku"

Kini aku dan Lan dah baik macam dulu,
Walaupun Lan dah bekerja jauh beribu batu,
Gaji besar tak ingat entah berapa ribu,
Lan, kalau hang hidup senang jangan lupa kawan di U....

BUTANG 'TERBANG'

On the way pergi kerja pagi ni aku drive macam biasa. Bertolak dari rumah pukul 5.30 pagi dan sampai kawasan Ulu Tiram pukul 6.10 pagi. Jalan dah cantik, ada 2 lane. Sebelum ni 1 lane je dan kawasan Ulu Tiram ke Kota Tinggi memang terkenal dengan kesesakan. Tapi sekarang semuanya dah berubah. Ada improvement la orang cakap.

Awal pagi biasanya kereta agak banyak. Lane paling kanan pun tak boleh nak speed lebih 60km/j sebab kat depan memang bersusun kereta yang menyusur masuk dari beberapa persimpangan. Terutamanya di kawasan Ulu Tiram menghala ke Tebrau City. Aku pulak memandu di lane kanan dan kereta memang bersusun kat depan. Masa ni aku perasan sebuah kereta Honda Bandar (Honda City) dok sibuk flash high beam light. Aku hairan jugak, kereta ni apehal pulak nak main high beam. Nak try lampu depan dia yang baru ganti ke? Lama-lama baru aku perasan yang dia nak orang bagi dia laluan. Kejadah apa nak bagi laluan dengan kereta bersusun kat depan tu. Nak suruh diorang tekan butang 'TERBANG' kat kete diorang ke?

Thursday, February 10, 2011

LORI PASIR YANG KEJI

Dengan rasa yakin tanpa was-was, aku menganugerahkan gelaran Kenderaan Paling Keji Atas Jalanraya Malaysia bulan ini adalah LORI PASIR sebab:

1. Gaya pemandunya memandu dengan bersahaja tanpa menghiraukan kenderaan lain.
2. Memandu dengan laju macam kos pembinaan jalan tu semuanya dia yang tanggung (aku punya jalan, aku punya suka la nak laju).
3. Muatan pasir + air lumpur berjejeran jatuh keatas jalan. Kenderaan lain yang berada dibelakang habis kotor kena air lumpur macam baru semalam join Rally Qatar.

Bukan bulan ni aje, aku yakin dia tapau anugerah ni untuk setahun sekaligus.
Tahniah!!

Wednesday, February 9, 2011

HERNAN CORTES & AZTEC

Dah 2 hari aku duduk rumah sorang-sorang sebab wife aku pergi kursus kat K.L. Jadi, aku yang dalam keadaan boring teramat lalu tangan terasa ringan nak ambik remote Astro. Jari lebih ringan lagi tekan punat nombor 5 tiga kali, 5..5..5 channel kegemaran aku, History Channel. Tengok tajuk dokumentari...The Conquistadors (kalau tak silap aku la), subtitle aku tukar ke B. Malaysia sebab english aku belum sampai tahap pembaca berita TV3 Nightline. Aku dengan penuh tekun tengok dokumentari sampai habis. Jadi, aku nak cerita sikit pasal apa yang aku dapat dari dokumentari ni sambil menguji daya ingatan. Sebelum tu aku senaraikan dulu keywords penting dan kemudiannya aku akan kaitkan sampai jadi satu sinopsis pendek.

- Christopher Columbus
- King Charles V
- Hernan Cortes
- Mentuzuma
- Aztec
- Mexico
- 1520's
- Local Ally
- Moral of the story

Kisah bermula apabila Christopher Columbus yang terkenal tu dapat menemui satu benua yang asing. Benua yang orang eropah masa tu tak tau. Malah tak tercatat dalam peta yang diorang ada. Maka hebohlah satu Sepanyol yang satu 'Dunia Baru' dah ditemukan oleh Si Columbus . Berbondong-bondonglah peneroka (aku fahamkan sebagai penjajah) datang ke benua baru yang dipanggil benua Amerika. Sepanyol pada masa tu diketuai oleh King Charles V.

Diatara peneroka yang terlibat adalah Hernan Cortes yang perangai dia macam beruang kutub, rakus. Hernan Cortes ni masa mudanya banyak terdedah dengan cerita kepahlawanan tentera salib dan bercita-cita nak jadi pahlawan suci jugak. Tapi dia dah tak suci lagi sejak usia belasan tahun sebab mamat ni kaki perempuan. Dia pernah jatuh dari tembok sampai patah kaki sebab lari dari rumah sorang gadis (lari dari kena tangkap dengan orang kampung). Lebih kurang 2 tahun kemudian, dia turut serta dalam kumpulan peneroka untuk meneroka benua Amerika.

Dipendekkan cerita, Si Hernan Cortes ni telah mendarat di Hispaniola (sekarang Republik Dominica & Haiti). Bagi yang tak tau Hispaniola ni, ia adalah koloni eropah yang pertama di benua Amerika dimana ia ditemui dan dibuka oleh Cristopher Columbus. Lebih 5 tahun mamat ni kat sana, dia turut serta dalam penerokaan kawasan di Hispaniola dan juga Cuba. Dengan pakej sifat tamak yang dah memang ada dalam diri, mamat ni dapat memiliki tanah yang luas siap dengan hamba abdi (orang indian) sebagai balasan penat lelah dia mengetuai operasi meneroka kawasan baru.

Hernan Cortes ni juga memang pandai bercakap sehingga beberapa tahun berikutnya dia berjaya menjadi orang kepercayaan Gabenor Hispaniola, Diego Velazquez. Maka bertambah mewah la dia dengan tanah yang lebih luas dan hamba abdi yang lebih ramai. Dalam diam sempat juga dia buat skandal dengan kakak ipar gabenor yang bernama Catalina Xuarez. Skandal yang terus menjadi duri dalam daging pada hubungan Cortes dengan Diego.

Tak lama kemudian, pada tahun 1518, Diego melantik Cortes menjadi ketua ekspedisi meneroka dan membuka koloni baru di Mexico. Tapi disebabkan beberapa perkara, ia dibatalkan. Cortes ni pulak memang degil dan rakus punya orang. Maka dengan kelengkapan dan orang-orang yang dia ada, dia bertindak sendirian dengan meneruskan juga ekspedisi.

Dipendekkan cerita lagi, sampailah Cortes dalam kawasan puak Aztec yang dipimpin oleh raja yang bernama Mentuzuma. Dengan kelicikan taktik yang dia ada, pasukan Cortes berjaya memujuk puak Tenochtitlan yang sememangnya memusuhi puak Aztec untuk join the party. Bertambah besarlah pasukan Si Cortes ni. Beberapa lagi puak menyertai pasukan Cortes ni, antaranya adalah Tlaxcala dan Cholula. Raja Mentuzuma menyedari akan kehadiran orang-orang Sepanyol ni dan berasa terancam. Tidak lama kemudian, dengan pasukan yang ada, Cortes masuk kedalam pusat pemerintahan Aztec. Raja Mentuzuma mengambil langkah berhati-hati dengan mengalu-alukan kedatangan Cortes. Memberi pelbagai hadiah daripada emas kepada Cortes. Pucuk dicita ulam mendatang, dah memang Cortes ni tamak haloba, maka berpusing 14 kali la biji mata dia tengok emas yang banyak tu. Dalam kepala Cortes ni dok fikir macam mana dia nak take over wilayah Aztec yang kaya raya ni. Dengan sifat tamak itu jugalah mendorong Cortes menjadikan Mentuzuma tebusan dalam istananya sendiri. Sekarang, Mentuzuma adalah pemimpin boneka Cortes sahaja. Peliknya, Mentuzuma hanya menurut tanpa membantah (takkan kena nasi kangkang kot). Mungkin juga Mentuzuma ni terkena Sindrom Stockholm.

Akan tetapi, tindakan Cortes merompak segala emas dalam simpanan perbendaharaan kerajaan Aztec mengundang kemarahan Mentuzuma. Berlakulah beberapa siri peperangan yang akhirnya menyebabkan pasukan Cortes tewas dan berundur ke Tenochtitlan. Nasib seakan-akan menyebelahi Cortes apabila tidak lama kemudian tamadun hebat Aztec diserang wabak penyakit cacar. Diberitakan hampir 90 peratus populasi Aztec diserang wabak ini yang akhirnya membawa kepada kematian pada skala yang sangat besar. Cortes melihat keadaan ini sebagai peluang keemasannya. Pasukan dihimpunkan semula dan Aztec diserang. Kerajaan Aztec yang sememangnya tengah lemah akhirnya tumbang ketangan Hernan Cortes dan tali barutnya pada tahun 1520. Tamatlah sudah riwayat kerajaan dan tamadun Aztec dibaham kerakusan dan ketamakan kuasa Hernan Cortes.

Pukul 8.00 malam dokumentari ni tamat. Sebelum tu ada la keluar sorang pakar sejarah mengulas moral of the story. Dia kata Aztec tewas bukan disebabkan oleh kekuatan orang Sepanyol tetapi disebabkan oleh gabungan puak-puak tempatan yang bersatu dengan orang Sepanyol. Hernan Cortes disifatkan sebagai pemimpin yang walaupun rakus tetapi berjaya menjajah Aztec dan secara tak langsung berjasa pada negara Sepanyol.

Pada aku pulak, moral of the story adalah:

1. Orang putih memang sejak dulu lagi bersifat tamak, suka menjajah dan tak menghormati budaya tempatan.
2. Orang putih sangat licik, jangan mudah percaya dengan mulut manisnya.
3. Kerajaan Aztec tumbang kerana wujudnya pengkhianat (puak tempatan) yang membantu orang Sepanyol.
4. Raja atau pemimpin seharusnya memiliki fikiran yang tajam dan pantas bertindak untuk melindingi kepentingan rakyat dan kawasan taklukannya.
5. Sejarah sentiasa akan berulang kerana apa yang terjadi pada kerajaan Aztec ini masih lagi berlaku pada zaman moden ini. Contohnya wujud kerajaan boneka di Iraq dan Afghanistan serta campurtangan barat dalam pentadbiran negara asing.


Aku harap jugak apa yang terjadi pada kerajaan Aztec takkan terjadi pada kerajaan Malaysia. Pemimpin yang ada mestilah cekap dan telus. Rakyat jangan berpecah belah.

Ok la. Aku nak pergi cari makanan. Aztec pun Aztec jugak, perut kena isi jugak ni. Cauuuu!!




Tuesday, February 8, 2011

AKIKAH SHAFIYYAH AMANI (PART 2)

Majlis ‘potong jambul’ anak aku Shafiyyah Amani diadakan sebelum waktu Zuhur 5hb Februari 2011 di rumah mak aku di Taman Sentosa, Gemas, N. Sembilan. Majlis bermula dengan kehadiran jemputan, jemaah lelaki dan juga Tok Imam Kariah Masjid Kampung Ladang, Haji Hasbuna. Tok Imam kemudiannya memimpin kumpulan jemaah lelaki untuk berzanji.

Bagi bab berzanji ni, aku mengaku yang aku tak tahu langsung nak berzanji. Dah boleh dikatakan generasi muda zaman sekarang kebanyakannya tidak mempunyai kebolehan untuk berzanji. Mungkin mereka yang mempunyai pendidikan agama di pusat pengajian seperti sekolah pondok dan tahfiz mempunyai kebolehan ini. Rata-rata yang berkebolehan untuk berzanji adalah mereka yang telah berumur 50 tahun keatas. Iaitu generasi yang lahir sebelum merdeka. Arwah ayah aku yang lahir sebelum merdeka mempunyai kebolehan ini tetapi aku tidak mewarisinya. Menurut bapa mertua, sekitar awal 80an, bakal pengantin lelaki harus mempunyai kebolehan berzanji kerana jurunikah lazimnya akan menduga bakal pengantin dengan berzanji. Tidak dapat dipastikan bilakah amalan ini pupus. Bagus juga kalau amalan ini diadakan semula untuk menghidupkan tradisi berzanji ini.

Berbalik pada majlis berzanji anak aku tadi, Tok Imam tidak membaca semuanya sendirian tetapi beberapa bahagian diberikan kepada datuk-datuk saudara aku. Tok Imam seolah-olah mengerti yang generasi muda tidak mempunyai kebolehan berzanji ini. Kalau tidak, dah tentu dia mempelawa aku untuk turut berzanji.

Selepas habis berzanji, jemaah berselawat keatas nabi dan pada masa inilah upacara ‘potong jambul’ bermula. Aku membawa Shafiyyah Amani pada jemaah yang sedang berdiri sambil berselawat beramai-ramai. Adik aku Mohd. Sahril membawa dulang berisi buah kelapa, bunga rampai, daun renjis, air renjisan dan gunting kecil. Dimulakan dengan Tok Imam yang membasahkan kepala Shafiyyah Amani dengan air renjisan dan memotong sedikit rambut Amani serta memberi pemberian berbentuk wang ringgit. Seterusnya giliran jemaah lain sehingga lengkap satu pusingan. Amani seterusnya dibawa ke luar untuk jemputan yang hadir melakukan upacara ‘potong jambul’.

Selesai upacara ‘potong jambul’, Tok Imam dan jemaah kemudiannya membacakan tahlil buat arwah ahli keluarga yang telah pulang kerahmatullah. Majlis diakhiri dengan jamuan makan tengahari yang diadakan di khemah khas di luar rumah. Maka tamatlah sudah majlis yang mulia ini dengan jayanya. Terima kasih kepada datuk-datuk saudara yang banyak membantu iaitu Tok Ali dan Tok Mail. Tanpa pertolongan mereka dengan izin Allah, majlis ini tidak mungkin dapat berlangsung dengan lancar. Begitu juga dengan saudara-saudara yang lain seperti Chik Bahrin dan isteri serta tidak lupa pada warga jiran-jiran di Taman Sentosa yang turut membantu. Jutaan terima kasih diucapkan.

AKIKAH SHAFIYYAH AMANI (PART 1)

(new update on May 2020)

Pada 5hb Februari 2011 yang lalu, aku telah mengadakan majlis akikah dan ‘potong jambul’ untuk anak aku Shafiyyah Amani. Pengalaman aku sebagai ayah dalam majlis akikah ni bermula pada hari Jumaat 4hb Februari 2011 apabila diminta untuk turut serta dalam upacara menyembelih seekor kambing biri-biri di kampung sebelah arwah ayah iaitu Kampung Bangkahulu, Gemas, N.Sembilan. Disebabkan aku membeli kambing biri-biri ini dari Haji Ramli, maka penyembelihan juga dilakukan dirumahnya.

Masa yang dijanjikan untuk upacara penyembelihan ni sepatutnya pada pukul 2.30 petang selepas solat jumaat. Akan tetapi aku tiba lewat iaitu pada pukul 2.50 petang menyebabkan datuk saudara aku Tok Ali dan Tok Mail membebel. Nak buat macam mana, salah aku juga. Haji Ramli dengan Tok Imam hanya tersengeh melihat aku kelam kabut turun dari kereta.

Prosedur pertama, aku melakukan akad jual beli kambing biri-biri dengan Haji Ramli. Haji Ramli berkata “aku jual kambing aku ni dengan harga RM 560 (35 KG x RM16/KG)”. Maka aku menjawab “aku beli kambing ini dengan harga tersebut”. Tiada lafaz seragam untuk akad jual beli ni, cukup sekadar begitu sahaja. Kemudiannya aku membayar harga kambing tersebut seperti yang telah dipersetujui.

[Untuk maklumat anda, sekarang ni terdapat khidmat pengurusan aqiqah yang lebih mudah dan murah, kalian boleh cuba pakej aqiqah yang mudah dan murah di Pakej Aqiqah Online Murah 2020/2021]

Prosedur berikutnya adalah menyembelih kambing. Kambing biri-biri tadi dibaringkan ke tanah dengan lehernya di tengah-tengah lubang kecil yang digali sebelum itu. Adik aku Mohd. Sahril memegang bahagian kaki bersama dengan Tok Ali manakala aku dengan Tok Mail memegang bahagian kepala . Tok Imam dah bersedia dengan parang tajamnya. Selepas membaca bismillah dan selawat serta niat menyembelih kambing sebagai akikah kepada Shafiyyah Amani, parang tajam menghiris leher kambing sehingga memutuskan salur darah utama. Darah membuak-buak keluar beserta dengan dengusan. Kambing tersebut kemudiannya dibiarkan sehingga ia benar-benar mati.

Gambar dari Google Images

Selepas memastikan yang kambing benar-benar mati, ia digantung (melalui tali yang telahpun diikat pada leher kambing) pada dahan pokok yang rendah dan kukuh untuk kerja-kerja melapah. Tok Ali dan Tok Mail melakukan kerja-kerja melapah dengan membuang kulit kambing terlebih dahulu. Kemudiannya memotong keempat-empat batang kaki kambing yang berdaging. Bahagian kaki yang tidak berdaging akan dibuang. Organ dalaman seperti usus besar, jantung, perut dan hempedu dikeluarkan dan dibuang. Cuma organ dalaman yang boleh dimakan seperti usus kecil, hati dan paru-paru sahaja diambill. Kepala kambing kemudiannya dipotong dan bahagian rusuknya dipotong kecil. Daging yang melekat pada bahagian kaki dan badan seterusnya dipotong kecil bagi memudahkan ia dimasak dan dimakan. Aku diberitahu, kambing dilapah tidak seperti melapah lembu. Daging yang melekat pada tulang kaki, rusuk dan tulang belakang tidak perlu dikikis habis sebaliknya perlu dibiarkan sedikit dan dipotong bersama tulang tersebut. Tidak seperti lembu yang dagingnya perlu dikikis habis dari tulang.

Dalam masa satu jam setengah, kerja-kerja melapah selesai. Daging yang telah dilapah dan dipotong kecil dihimpunkan didalam besen. Lubang berisi darah sembelihan kambing tadi dikambus bersama serpihan-serpihan tulang. Organ dalaman yang tidak boleh dimakan kemudiannya dibuang ke dalam sungai untuk santapan ikan-ikan. Dengan itu selesailah sudah upacara menyembelih dan melapah daging kambing untuk akikah anak aku.


Semoga segala amal kita diterima Allah S.W.T.


p/s: teruskan membaca Part 2 untuk kisah selanjutnya.



Tuesday, February 1, 2011

Mesir Oh Mesir

Selepas revolusi yang berlaku di Tunisia sehingga tumbangnya kerajaan Presiden Zine Al-Abidine Ben Ali, gelombangnya merebak ke Mesir pula. Rejim pemerintahan Mubarak yang seakan-akan sama dengan bekas presiden Tunisia itu menghadirkan benci pada rakyat jelata setelah sekian lama. Rakyat sudah lama berhasrat untuk menumbangkan rejim Mubarak tetapi tiada satu pencetus yang benar-benar dapat membangkitkan semangat rakyat untuk menentang. Kejayaan rakyat Tunisia memberi inspirasi kepada rakyat Mesir pula. Kepimpinan Mubarak dilihat gagal membela nasib rakyat yang rata-rata hidup dalam kesusahan sedangkan beliau, keluarga dan kroni hidup mewah di puncak kuasa.
Dr. Mohamad Asri pernah menyiarkan satu artikel tentang perbandingan antara negara Mesir dan negara China. Beliau menyatakan, Mesir dan China kedua-duanya adalah sama dari segi sejarah ketamadunan yang hebat suatu ketika dahulu. Akan tetapi keadaannya berbeza sekarang. China semakin laju mengorak langkah kearah menjadi sebuah negara yang bakal menerajui ekonomi dunia. Bandar-bandar mereka lengkap dengan fasiliti-fasiliti moden. Sedangkan Mesir masih lagi mundur walaupun sektor pelancongannya adalah penyumbang utama pendapatan negara. Kereta-kereta usang masih bersepah di jalan raya. Kebersihan tidak begitu dipedulikan. Rakyat masih hidup dalam keadaan susah. Ditulis juga dalam artikel tersebut, orang barat dilihat lebih menguasai sektor-sektor penting di Mesir berbanding warganya sendiri.
Dengan keadaan rakyat yang serba kekurangan, presiden tidak seharusnya memekakkan telinga dan membutakan mata. 30 tahun bukan satu jangka masa yang pendek bagi seseorang presiden untuk melakukan sesuatu bagi membela nasib rakyat. Pelbagai pelan dan dasar yang boleh dilaksanakan. Namun, beliau lebih sibuk mengumpul harta untuk mengisi perut sendiri. Amerika dan Israel dijadikan teman. Akhirnya nanti, apabila Mubarak hampir tumbang, tiada siapa yang akan membantu.
Hari ini kita masih mengikuti perkembangan rusuhan di Mesir. Samada usaha rakyatnya mampu menumbangkan presiden atau tidak, sama-sama kita nantikan. Diharap Mesir di masa hadapan akan berubah menjadi sebuah negara Islam yang progresif dan mampu berdiri atas kaki sendiri seperti mana hebatnya tamadun mereka suatu masa dahulu.

Skandal Karipap Kecik

Aku bersekolah menengah di SMK Gemas, N.Sembilan dari tingkatan 1 hingga tingkatan 3. Macam-macam peristiwa suka duka aku lalui di sekolah tu. Antara yang aku masih ingat adalah skandal karipap kecik Dayat.

Ceritanya bermula begini....Setiap kali kelas Pendidikan Islam, Kelas Tingkatan 2 Berlian (2 Berlian) akan bergabung dengan kelas Tingkatan 2 Delima (2 Delima). Manakala kelas kami akan dijadikan kelas bagi pelajar bukan Islam belajar subjek Pendidikan Moral.

Hidayat@Dayat adalah ketua kelas 2 Delima. Dayat ni famous dikalangan kami sebab dia 'tokan' karipap kecik. Sepeket karipap kecik berharga 30sen. Saiz karipap ni lebih kurang 1 inci dengan inti ikan bilis yang dikisar halus. Kerangupan & kesedapan karipap kecik ni menjadi kegilaan kami. Macam orang ketagih ganja dibuatnya.

Disebabkan kami bergabung kelas setiap kali subjek Pendidikan Islam, maka mudahlah bagi kami membeli karipap kecik si Dayat ni. Bila dah beli mestilah terliur nak makan kan. Jadi, kami pun makan masa Ustazah Azizah tengah mengajar. Bila Ustazah Azizah tulis something kat papan hitam, kitorang curi-curi masukkan karipap kecik dalam mulut & kunyah. Lepas tu cover dengan tapak tangan atau buku, seolah-olah tak berlaku apa-apa.

Lama kelamaan Ustazah Azizah perasan. Kalau dah separuh kelas yang buat macam tu, mesti la dia perasan. Ustazah Azizah mula hilang sabar dan laporkan hal ni pada cikgu disiplin. Cikgu Hashim adalah cikgu yang paling digeruni di SMK Gemas waktu tu. Selaku cikgu disiplin merangkap jurulatih pasukan bola tampar sekolah, penamparnya memang boleh buat murid menggigil ketakutan. Selain tu, 'senjata' utama beliau adalah libasan rotan panjang sedepa. Mana-mana murid yang punggungnya dihinggapi rotan ni pasti melompat. Melompat sambil meramas punggung menahan sakit. Aku yakin kalau budak sekolah zaman sekarang kena rotan macam tu, berlambak-lambak saman yang cikgu Hashim dapat.

Nasib kitorang kurang baik, Ustazah Azizah bagitau cikgu Hashim yang murid kelas 2 Berlian & 2 Delima makan masa kelas berlangsung. Kitorang dah cuak, dah mula terbayang libasan rotan ala samurai tepat menghentam punggung. Masa tu juga kami diminta beratur beramai-ramai depan bilik cikgu Hashim & tulis nama masing-masing dalam buku rekod disiplin. Aku memang dah cuak tahap dewa. Sambil tunggu giliran tu, terbayang macam mana nak tahan punggung masa dilibas rotan panjang sedepa cikgu Hashim nanti. Aduhhhh...masak wa cakap lu.

Ain adalah anak lelaki cikgu Hashim dan dia adalah classmate aku. Jadi, dia pun terlibat sama dalam skandal karipap kecik Dayat ni. Cikgu Hashim pulak tak tau yang anak dia ada dalam barisan tu. Ain beratur selang beberapa orang depan aku. Giliran tulis nama dalam buku rekod cikgu Hashim semakin hampir. Aku menggigil tengok muka bengis cikgu Hashim & rotan panjang sedepa yang terletak cantik atas meja dia tu. Tiba giliran Ain tulis nama dalam buku rekod, cikgu Hashim nampak terkejut tengok anak dia pun ada sekali.

Cikgu Hashim bertempik "Kau pun ado Ain?!, Kau buek apo ni?!!". "Errr..makan karipap kocik bah" jawab Ain. "Apo!! Karipap kocik?!! Jago kau kek ghumah nanti!!".. Muka cikgu Hashim merah padam tahan malu sebab anak dia terlibat sekali. Aku masa tu terus hilang rasa cuak, bertukar jadi geli hati. Nak je aku ketawa terbahak-bahak dalam bilik disiplin tu. Takut je tengah gelak penampar cikgu Hashim yang kecik sikit je dari bat ping pong tu menerjah pipi. Bukan aku je, kawan-kawan aku yang lain pun merah muka tahan gelak. Hari tu kami bernasik baik juga tak dilibas dengan rotan panjang sedepa cikgu Hashim sebab ramai sangat yang terlibat, lebih 40 orang aku rasa. Kalau dia nak rotan sorang-sorang, boleh melecet tangan dia nanti. Ain pulak dah pasti dapat 'habuan' dari abah dia kat rumah nanti.

Peristiwa ni memang aku akan ingat sampai bila-bila. Memang kitorang nakal masa sekolah dulu tapi takla sampai tahap nak melawan cikgu atau secara terang-terangan bersikap biadap depan cikgu. Alhamdulillah, kawan-kawan aku yang terlibat dalam skandal karipap kecik ni semua membesar jadi 'manusia'. Belum ada yang aku dengar jadi penjenayah.
Cikgu Hashim & Ustazah Azizah cuma menjalankan amanah yang diberikan. Amanah yang diletakkan di bahu mereka untuk mendidik anak bangsa supaya menjadi insan berguna dimasa hadapan. Yang bersalah adalah kami. Murid-murid Islam 2 Berlian & 2 Delima tahun 1995. Maafkan kami cikgu...

BN Menang dengan Tenang

BN menang PRK DUN Tenang. Tahniah!!
Selamat berbakti pada masyarakat YB Azahar....

PENGEMBARAAN KE ANGOLA (Final)

Part akhir siri pengembaraan ke Angola ni dah lama aku fikirkan untuk di’publish’ ke dalam blog. Sela masa 2 tahun selepas part 3 disia...