Selepas revolusi yang berlaku di Tunisia sehingga tumbangnya kerajaan Presiden Zine Al-Abidine Ben Ali, gelombangnya merebak ke Mesir pula. Rejim pemerintahan Mubarak yang seakan-akan sama dengan bekas presiden Tunisia itu menghadirkan benci pada rakyat jelata setelah sekian lama. Rakyat sudah lama berhasrat untuk menumbangkan rejim Mubarak tetapi tiada satu pencetus yang benar-benar dapat membangkitkan semangat rakyat untuk menentang. Kejayaan rakyat Tunisia memberi inspirasi kepada rakyat Mesir pula. Kepimpinan Mubarak dilihat gagal membela nasib rakyat yang rata-rata hidup dalam kesusahan sedangkan beliau, keluarga dan kroni hidup mewah di puncak kuasa.
Dr. Mohamad Asri pernah menyiarkan satu artikel tentang perbandingan antara negara Mesir dan negara China. Beliau menyatakan, Mesir dan China kedua-duanya adalah sama dari segi sejarah ketamadunan yang hebat suatu ketika dahulu. Akan tetapi keadaannya berbeza sekarang. China semakin laju mengorak langkah kearah menjadi sebuah negara yang bakal menerajui ekonomi dunia. Bandar-bandar mereka lengkap dengan fasiliti-fasiliti moden. Sedangkan Mesir masih lagi mundur walaupun sektor pelancongannya adalah penyumbang utama pendapatan negara. Kereta-kereta usang masih bersepah di jalan raya. Kebersihan tidak begitu dipedulikan. Rakyat masih hidup dalam keadaan susah. Ditulis juga dalam artikel tersebut, orang barat dilihat lebih menguasai sektor-sektor penting di Mesir berbanding warganya sendiri.
Dengan keadaan rakyat yang serba kekurangan, presiden tidak seharusnya memekakkan telinga dan membutakan mata. 30 tahun bukan satu jangka masa yang pendek bagi seseorang presiden untuk melakukan sesuatu bagi membela nasib rakyat. Pelbagai pelan dan dasar yang boleh dilaksanakan. Namun, beliau lebih sibuk mengumpul harta untuk mengisi perut sendiri. Amerika dan Israel dijadikan teman. Akhirnya nanti, apabila Mubarak hampir tumbang, tiada siapa yang akan membantu.
Hari ini kita masih mengikuti perkembangan rusuhan di Mesir. Samada usaha rakyatnya mampu menumbangkan presiden atau tidak, sama-sama kita nantikan. Diharap Mesir di masa hadapan akan berubah menjadi sebuah negara Islam yang progresif dan mampu berdiri atas kaki sendiri seperti mana hebatnya tamadun mereka suatu masa dahulu.
No comments:
Post a Comment