Monday, February 21, 2011

REALITI

Di Malaysia terdapat banyak stesen TV yang prihatin. Sangat prihatin dan bertanggungjawab dalam hal mencari bakat-bakat baru dunia nyanyian. Bakat-bakat yang akan memeriahkan pesta Hedonism masa hadapan. Siapa tak tahu Akademi Fantasia 9, Malaysian Idol ataupun Mentor boleh dianggap ketinggalan zaman. Orang semacam ni hampir pasti rumahnya termasuk jiran-jiran sekeliling tiada mengandungi peti TV. Ataupun mereka punya peti TV tapi bekalan eletrik sudah dipotong. Lebih sadis lagi kalau mereka buat pengakuan yang mereka tak pernah membaca walau senaskah pun surat khabar sepanjang hayat mereka. Dan macam-macam alasan lagi untuk kata "Hah! Mentor? Akademi Fantasia? Malaysian Idol? Apa benda tu?"

Adapun tujuan aku bersusah payah menaip bukanlah untuk bercerita perihal rakyat marhaen yang hidup susah tanpa punya kemudahan peti TV. Bukan juga untuk membebel tentang kurangnya kesedaran peri penting tabiat membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia. Apatah lagi untuk berceramah kepada pihak TNB supaya sentiasa membekalkan bekalan elektrik kepada golongan kurang mampu dengan alasan ia adalah tanggungjawab sosial mereka. Bukan...bukan...bukan..

Apa yang aku cuba lontarkan disini adalah gelagat anak muda yang bercita-cita tinggi untuk menjadi penyanyi tersohor. Mereka diberi peluang oleh stesen-stesen TV untuk menonjolkan bakat yang ada. Walau sebahagian besarnya memang tiada bakat langsung tetapi gigih juga mencuba nasib. Mungkin rakan-rakan sepermainan menggalakkan mereka turut serta dengan alasan suara mereka iras-iras suara Jamal Abdilah atau Zaiton Sameon. Padahal itu hanya sindiran halus supaya mereka berhenti menyanyi kerana suara mereka sebenarnya cuma merdu sedikit dari bunyi enjin lori pasir. Oh, kenapa mereka tidak dapat membezakan antara galakan dan sindiran?

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Memang benar tuah manusia tiada siapa yang tahu. Namun, manusia yang rajin berusaha tanpa jemu biasanya mempunyai tuah. Ruang lingkup dunia yang luas ini menjanjikan seribu satu macam cara yang halal untuk mencari tuah. Dari itu, kita sendiri perlu sedar kelebihan dan kekurangan diri. Jika punya suara yang lingkup tanpa bakat, janganlah kiranya ruang ujibakat Mentor atau Akademi Fantasia hendak diredah. Mungkin kelebihan kita bukan disitu tetapi di bidang perniagaan atau bidang pelajaran contohnya. Maka tidaklah aku ketawa berdekah-dekah menyaksikan gelagat peserta semasa sesi ujibakat pemilihan protege rancangan Mentor itu. Tidaklah juga para mentor dan penilai menahan gelak hingga merah seluruh muka. Mengapa perlu memalukan diri sendiri?

Aku juga sedar diri ini siapa. Tidak mungkin aku akan menyertai sesi saringan Kuiz Teori Kimia peringkat kebangsaan (jika ada) kerana aku amat lembab dalam bidang ke'kimia'an ini. Tidak sanggup rasanya aku ditertawakan oleh para juri dan hadirin dengan jawapan-jawapan yang tak masuk akal. Tidak...tidak...tidak...

Walaupun begitu, aku kagum dengan semangat dan keberanian anak-anak muda ini. Tanpa bakat dan suara yang merdu, mereka dengan selamba menyertai sesi ujibakat. Dengan hati yang terbuka juga menerima apabila mentor mengatakan "Tidak, awak tidak layak". Tidak seperti segelintir dari mereka yang mempertikaikan keputusan yang telah dibuat sedangkan bakat dan suara jelas nyata 'tak boleh blah'.

Kawan-kawan, dunia ini luas. Cabang rezeki itu banyak disediakan untuk kita. Tak perlulah kiranya kita terlebih fokus untuk jadi penyanyi sedangkan suara dan bakat kita tiada.


1 comment:

PENGEMBARAAN KE ANGOLA (Final)

Part akhir siri pengembaraan ke Angola ni dah lama aku fikirkan untuk di’publish’ ke dalam blog. Sela masa 2 tahun selepas part 3 disia...