Tuesday, December 28, 2010

Bikin Hati Panas....

Sejak team bolasepak Malaysia kalahkan team Indonesia 3-0 tempoh hari, berkoyan-koyan kata keji ditambah dengan beratus-ratus kontena maki hamun dari penyokong gila. Aku tak anggap diorang ni penyokong bola sebab sikap diorang tak macam manusia yang menyokong pasukan bola tetapi macam kera yang tersalah makan buah hutan.

Pasal bola sanggup memaki hamun. Kalau maki hamun berkisar perihal dalam padang tu boleh juga diterima akal. Ini sampai melibatkan negara...betapa bencinya diorang pada negara kita. Apa masalah diorang sebenarnya ni? Apa yang diorang benci sangat dengan kita ni?

Sudah-sudah la. Sekarang, pihak ketiga yang menjadi duri dalam daging hubungan Malaysia-Indonesia melompat riang. Dakyah mereka semakin berhasil. Yang rugi adalah kita sendiri.

Jangan sampai menang sorak..kampung tergadai.....

Iswara oh Iswara...


Pagi ni aku bersiap nak pergi kerja macam selalu. Seusai menyarung kasut, aku angkat beg dan menghulurkan tangan pada isteri. Si isteri menyambut salam & mencium tangan tanda hormat. Dengan semangat yang agak berkobar, aku melangkah ke kereta Iswara hijau aku tu. Kunci bersadur perak aku benamkan kedalam lubang kunci...dengan sekali pulas sahaja pintu terbuka.

Aku duduk diatas kerusi kereta sambil tangan kiri cuba meghidupkan enjin kereta. Keceheeeeekkkkk...keceheeekkkkk.... Aik, kenapa lain macam sekali bunyi kokokan kereta aku pagi ni. Keceheeekkkkk...kecehekkkkkk...kecehekkkk..... Sah....ada yang tak kena. Semangat yang berkobar tadi terus jadi seperti arang terbakar. Dia buat hal lagiiiiiii...........

Saturday, December 25, 2010

Rintihan Pesakit

"Ramai akui bil rawatan, ubat hospital swasta mahal, melampau"
(Berita Harian, 24 Nov. 2010)

Bila aku baca berita diatas, aku teringat satu peristiwa dimana aku dimasukkan ke wad sebuah hospital swasta untuk menjalani pemeriksaan saluran usus besar. Aku ditempatkan di wad 2 katil. Itupun sebab hospital swasta tersebut adalah hospital panel syarikat aku bekerja. Kalau nak harapkan duit sendiri memang aku tak mampu.

Perkara pertama yang ditanya sebelum seseorang pesakit diberi rawatan adalah perihal samada dia dilindungi insurans atau majikan. Bagi pesakit yang dilindungi insurans & majikan, lazimnya mereka tidak menghadapi sebarang masalah. Bagi pesakit yang datang sendiri tanpa apa-apa perlindungan, mereka perlu membayar wang pendahuluan sebelum rawatan dapat diteruskan. Biasanya wang pendahuluan sebanyak RM300-RM400.

Sepanjang berada di wad hospital tersebut pertanyaan "Encik ada cover note majikan atau insurans?" sentiasa didengar dari mulut jururawat dan doktor. Pertanyaan tersebut sering ditanya sebelum sebarang rawatan dibuat untuk memastikan tiada masalah dihadapi semasa pembayaran bil kemudiannya. Aku terfikir juga apa yang akan terjadi kalau pesakit tersebut sudah agak lama diberi rawatan sehingga kos rawatan melebihi paras maksimum yang dihadkan oleh syarikat insurans & majikan? Adakah pesakit tersebut akan 'ditendang' keluar ke hospital kerajaan?

Aku akui kos mendapatkan rawatan di hospital swasta 'agak' tinggi & sesetengahnya memang 'sangat' tinggi! Bagi pesakit berpendapatan rendah, untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta adalah hampir mustahil. Pesakit berpendapatan sederhana pula berfikir banyak kali sebelum mendapatkan rawatan di hospital swasta. Hanya mereka yang berpendapatan tinggi sahaja yang mampu. Sesekali aku berfikiran nakal dengan membayangkan seorang pesakit berpendapatan rendah yang mendapatkan rawatan di hospital swasta telah sembuh tetapi jatuh sakit semula selepas melihat bil yang perlu dibayar.

Pada pemerhatian aku, hospital kerajaan tidak kurang hebatnya. Peralatan & kepakaran yang dimiliki hampir setaraf dengan hospital swasta. Cuma yang menjadi masalah adalah mereka kekurangan kakitangan terutamanya pakar-pakar perubatan.

Peruntukan kewangan yang diberi juga agak kecil berbanding hospital swasta yang melabur berjuta ringgit bagi 2-3 buah cawangan. Berbanding hospital kerajaan yang memperuntukkan jumlah yang sama bagi berpuluh-puluh cawangan termasuklah klinik-klinik desa diseluruh negara. Pakar-pakar perubatan pula ramai yang telah 'dicuri' oleh hospital swasta yang tentunya menawarkan gaji yang lebih lumayan dengan beban kerja yang kurang berbanding hospital kerajaan.

Dasar kerajaaan yang ingin menggalakkan pelancongan perubatan menyaksikan pertumbuhan pesat hospital-hospital swasta. Objektif utama mereka mungkin pada pesakit dari luar negara & golongan berkemampuan. Bagi rakyat marhaen, ia bukanlah satu pilihan yang bijak untuk mendapatkan rawatan disana. Ukur baju dibadan sendiri, tanpa perlindungan insurans & majikan, kita hanya layak mendapatkan rawatan di hospital kerajaan yang semakin hari semakin banyak pembaharuan dilaksanakan.

Kerajaan diharap memberikan perhatian lebih serius dalam hal ini. Ini adalah tanggugjawab mereka yang memerintah untuk menjaga kebajikan rakyat. Disamping itu, kita juga perlu meningkatkan kesedaran tentang kesihatan diri sendiri.

Zaman serba moden ini menyaksikan pembinaan hospital swasta semakin rancak. Sama rancaknya dengan pembinaan restoran-restoran makanan segera yang beroperasi 24 jam.

Makan makanan segera tiap-tiap hari tanpa mengira waktu. Bila sakit terus ke hospital swasta. Memang satu kombinasi yang 'baik'.

Friday, December 24, 2010

BANDAR PENAWAR



Bolehkah sebuah 'Bandar' boleh dikategorikan sebagai 'Bandar' jika:

1. Populasinya belum sampai tahap yang membolehkan ia bergelar bandar.
2. Ada 1 je kedai hardware. Tu pun pukul 6 petang dah tutup. Hari Ahad tak buka.
3. Kekerapan bas untuk penduduk pergi dari satu tempat ke satu tempat dalam kawasan tu lebih kurang 3 jam. 
4. Ada 1 je kedai perabot (yang aku nampak). Perabot yang dipamerkan tak banyak pilihan. Kota Tinggi adalah alternatif terbaik untuk membeli perabot.
5. Ada 2 bank je. 1 bank dibuka tahun lepas. Lagi 1 baru je buka bulan lepas. Yang ni kena improve sebab Desaru ni pusat pelancongan. Kemudahan perbankan t ni sangat penting.
6. Ada 1 je stesen minyak. Disyorkan dibuka sekurang2nya satu lagi stesen minyak. Shell/BHP barangkali.
7. Sebatang traffic light pun takde sebab jalan lengang. Kereta lalu sesekali je. Ini bagus, tak semak kepala dengan traffic jam. 
8. Nak cari bengkel kereta agak susah. Kalau pelancong punye kereta rosak memang menonong cari location workshop. Serius kena improve sebab lokasi bengkel tak sesuai, jauh dari tumpuan orang ramai. Semua pengusaha bengkel orang melayu & ini tak bagus untuk mereka.

NAMUN BEGITU, terdapat beberapa ciri yang menyerupai bandar di tempat ini apabila:

1. Beberapa kedai makan menjual makanan yang lagi mahal harganya dari kedai makan di Kuala Lumpur atau Johor Bahru (serius boleh tahan mahal....bukan niat nak condemn mana2 pihak...sebagai pengguna aku ada hak bersuara)
2. Terdapatnya fasiliti seperti Balai Polis, Balai Bomba, Pasar Awam, Pejabat Pos, Stadium Mini, Taman Tasik, Stesen Bas & Teksi & Sekolah pelbagai aliran.
3. Sekitarnya terdapat hotel & resort yang bertaburan.
4. Harga sewa rumah boleh tahan mahal. Mungkin sebab permintaan melebihi penawaran.

Tapi tempat ni ada KELEBIHAN@ADVANTAGE juga, seperti:

1. Nak pergi Desaru tengok pantai & ombak sangat senang. 4km je jaraknya dari sini.
2. Kadar jenayah sangat rendah.
3. Kereta tak banyak. Takde masalah traffic jam.
4. Takde tol.
5. Banyak tempat pelancongan yang lain.

Bandar Penawar belum boleh dikategorikan sebagai bandar dalam erti kata yang sebenarnya.Untuk mencapai standard tersebut mungkin memakan masa 5-10 tahun lagi. Diharap dengan siapnya lebuhraya Senai-Desaru, pembangunan disini bertambah rancak. Tapi bila siapnya YB Azalina??

*Entry ini telah disunting semula pada 6 April 2011.

Thursday, December 23, 2010

Ayat Standard

Bulan lepas aku baca paper. Mukasurat yang belakang-belakang sikit. Perenggan pertama lebih kurang macam ni ayat dia 'harga minyak RON95 naik 5sen menjadikan harganya seliter RM1.90'. Aku dah tau, Buletin Utama dah siarkan malam tadi.

Ayat seterusnya...'walaubagaimanapun harga ini masih terendah dalam kalangan negara ASEAN'. Haaaa, yang ni aku dah tau sejak beberapa tahun yang lalu. Ayat standard Pak Menteri bila harga barang naik. Nak sedapkan hati rakyat...

Tuesday, December 21, 2010

Astro 2

Mamat yang buka set Astro tu tanya aku...

Mat Liar: Nak pasang mana Astro ni bang?Aku: Nak pasang kat B.Penawar. Aku dah pindah sana.

Mat Liar: Kalau camtu, abang telefon kawan saya ni. Dia memang buat kerja pasang set Astro area Kota Tinggi.

Aku: Ok jugak, mudah kerja aku. Tak payah nak tercari-cari lagi nanti.

Mat Liar: Kejap bang, saya telefon kawan saya tu.

*Masa ni mungkin dia dah deal something dengan kawan dia tu.

Mat Liar: Ni bang nombor telefon dia 016-xxxxxxx...

Aku: Ok..esok aku mintak dia pasangkan.

Esoknya aku telefon kawan Mat Liar. Dia datang on the spot. Masa tu mak & abah mertua aku ada kat rumah. Dua jam kemudian wife aku bagitau Astro dah pasang, upah RM100. Haram jadah mahal!!Adoi, silap aku jugak tak tanya harga dulu. Yakin je upah dalam lingkungan RM50-60. Tak munasabah langsung kos pasang RM100. Beruang punya melayu 2 orang ni. Mat Liar & member dia.

Kos keseluruhan buka-pasang semula set Astro aku adalah RM150. Berbanding RM130 yang kedai tukang pasang Astro kat P.Gudang offer kat aku. Rugi RM20. Dah selamat mendarat dalam poket 'beruang' 2 ekor tu.

Melayu sama melayu pun nak sembelih jugak. Boleh jalan la pada slogan 'tolong menolong sesama melayu'.

Monday, December 20, 2010

Minah Melayu Perasan

Aku dah pindah ke B.Penawar tapi set Astro masih kat rumah lama. Hari Isnin lepas aku pergi kedai tukang pasang Astro. Aku cakap aku nak guna orang dia untuk buka set Astro aku tu. Nak bawa pergi B.Penawar. Dia kata kalau buka dan pasangkan semula kat B.Penawar, upah yang dikenakan adalah RM130. Kalau upah buka je, RM50.

Aku pun fikir kejap. Congak-congak budget yang paling optimum macam menteri kewangan kedua. Pilihan kedua aku pilih, upah buka RM50 je. Kat B.Penawar nanti aku cari tukang pasang Astro kat sana pulak. Upah mungkin RM50 je. Pasang je kan...jadi, total kos pindah set Astro adalah RM100..jimat RM30. . Aku punya strategi macam tu la kononya.

On the spot, aku tinggalkan alamat rumah lama kat minah melayu pekerja kedai tu. Siap dengan waktu dan tarikh yang dijanjikan untuk buka set Astro. Nama dengan nombor telefon pun aku tinggalkan. Nombor IC dengan nombor akaun bank je aku tak letak. Punya la lengkap maklumat aku tulis atas kertas sebesar saiz setengah A5 tu.

Esoknya cuti umum sempena Awal Muharram. Petang tu minah melayu pekerja kedai tukang pasang Astro telefon aku. Dia bagitau pekerja untuk buka set Astro tak dapat datang pada waktu yang dijanjikan iaitu pukul 5 petang. Dia janji orang dia datang buka pukul 6 petang. Aku setuju je, mungkin diorang banyak tempat lain nak pasang set Astro.

Hari dan waktu yang dijanjikan telah tiba. Aku menunggu kat rumah Hilmi dari pukul 5.30 sampai 6.15. Batang hidung pekerja tu pun aku tak nampak. Aku mula rasa nak marah. Masa ni tahap kemarahan aku masih dalam lingkungan 25%...tahap selamat lagi tu. Aku telefon minah melayu tu balik, tanya bila nak datang. Dia minta aku tunggu kejap. Nak telefon pekerja katanya. 2 minit kemudian dia telefon aku balik.

Minah melayu: "Maaf bang, pekerja kami sedang sibuk sekarang..kalau sempat dia datang malam sikit. Kalau tak sempat, esok dia datang"

*Beruang betol!! Bukan ke dah janji nak buat petang ni? 2 hari sebelum aku booking...tahap marah aku naik 40%. Aku jawab balik...
Aku: Eh, mana boleh macam ni. Awak dah janji semalam nak datang buka hari ni pukul 6 petang.
Minah melayu: Janji? Bila masa saya janji? Abang janji dengan siapa?

*Naik ke 50% tahap kemarahan aku.

Aku: Kan awak yang telefon saya semalam! Bagitau nak buat petang ni.. Awak jangan main-main, saya sanggup tunggu sampai pukul 6 ni semata-mata nak setelkan hal ni. Saya dah la nak balik B.Penawar lepas ni, bukan dekat!!

Minah melayu: Err, ok bang..saya try telefon pekerja saya untuk buka set Astro abang tu.

Aku: Cepat sikit!! Alamat saya awak ada kan? Kat kertas yang saya bagi awak 2 hari lepas.

Minah melayu: Errr...kertas yang mana eh?

*Eii minah ni...sengal betul la. Sia-sia aku tulis berjela atas kertas tu. Kau buat kapal terbang kertas ke apa? Kau ingat kertas tu satu percubaan aku nak mengorat kau ke? Kononya kau malas nak layan dan campakkan kertas tu dalam longkang. Wak lu!!

Aku: Kertas yang saya bagi 2 hari lepas tu la. Awak letak mana?

Minah melayu: Kertas tu takde la bang...

Selamba badak je dia jawab macam tu. Memang aku panas hati. Tahap 70% kemarahan aku. Sebelum naik ke 100%, aku cuba cool kan diri.Tarik nafas panjang-panjang. Aku pun bagi alamat & desak dia suruh cepat. Tak kuasa nak bertekak lagi..aku dah lambat ni.

Tak lama kemudian pekerja dia telefon aku. Dia on the way dari kampung mana entah. Malas nak ambil tahu. Yang penting dia datang cepat, buka set Astro ni cepat dan aku boleh balik B.Penawar secepat mungkin. Sudahnya pukul 7.40 baru pekerja dia sampai.

Pukul 9.30 baru aku sampai B.Penawar. Badan letih berlengas ditambah dengan hati yang panas membara.

Saturday, December 18, 2010

Hari Sabtu Setengah Hari....

Hari ni, Sabtu..aku kerja half day. Opismate yang lain tengah makan roti canai sambil minum teh tarik kot sekarang ni. Sebab diorang staf group B, office base...cuti setiap hari Sabtu minggu pertama & ketiga. Aku staf group A, operation base...Sabtu kena kerja half day. Terkulat-kulat la aku kat opis ni sorang-sorang. Adoi... kalau kerja 5 hari seminggu kan best......

Wang Besar! Wang Besar!


Korang pernah terima emel spam yang mengatakan korang menang cabutan bertuah atau korang diperlukan untuk membantu mengeluarkan wang dari akaun bank? Dan macam-macam lagi cerita putar alam yang pengirim@penipu besar tu bagi. Yang pasti, korang akan ditawarkan dengan sejumlah wang yang banyak. Kalau betul-betul dapat, sampai pencen korang tak payah kerja. Duduk rumah tengok tv sambil makan anggur.

Bulan ni saja aku terima lebih 10 emel macam ni. Pengirim pulak, kononnya dari isteri ahli perniagaan Afrika & Indonesia yang kematian suami, dari bahagian kewangan bank luar negara termasuklah dari peniaga berlian. Cerita putar alam paling hebat yang pernah aku dapat mengatakan dia pengarah FBI. Aku tertunggu-tunggu juga emel dari Barrack Obama, setakat ni belum dapat lagi la.

Jumlah yang ditawarkan memang banyak. Standard amaun dalam lingkungan USD10 million keatas. USD10 million bersamaan lebih kurang RM34 juta. Katakanlah setahun korang belanja RM1 juta, maknanya korang tak payah kerja selama 34 tahun!! Siapa pulak yang ikhlas lagi mulia nak bagi wang sebanyak ni pada orang yang tak dikenali? Di sini dah jelas kelihatan ada sesuatu yang tak kena.

Manusia sinonim dengan sifat tamak. Wang yang sebegitu besar kalau boleh tidak akan dikongsi dengan orang lain apatah lagi dengan orang yang tidak dikenali. Kerana wang dan harta, adik beradik sanggup bergaduh. Inikan pula pada orang yang tiada hubungan persaudaraan hatta hubungan persahabatan sekalipun.

Bila dapat emel penipu sebegini, kita boleh baca sebagai hiburan masa lapang. Jangan sesekali percaya! Lepas baca boleh dipersilakan ke tong sampah (delete item).

PENGEMBARAAN KE ANGOLA (Final)

Part akhir siri pengembaraan ke Angola ni dah lama aku fikirkan untuk di’publish’ ke dalam blog. Sela masa 2 tahun selepas part 3 disia...