Thursday, March 3, 2011

JUBIR & CHIHUAHUA

12 April 2011 - 0932 malam

Angin malam yang dingin menghembus lembut susuk tubuh Jubir. Jubir hanya mampu memeluk tubuh keringnya yang cuma berbaju Pagoda. Pekat malam tidak lagi menjadi halangan baginya. Dia perlu segera sampai. Jalan kampung tidak bertar dikelilingi kebun getah diredah tanpa gentar. Nyamuk tetap setia mengekori betis dan leher Jubir, menunggu peluang untuk menusuk muncung tajamnya itu. Sesekali kedengaran bunyi anjing menyalak panjang. “Mungkin anjing penjaga kebun Leman”, getus Jubir. Bulan lepas Leman membeli tiga ekor anjing baka luar negeri untuk menjaga kebun getahnya setelah kes kecurian getah beku semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Harga getah yang mencanak naik sememangnya menarik perhatian para penyangak yang sentiasa mencari jalan mudah untuk menjadi kaya. Sambil meredah kegelapan malam, Jubir tergelak kecil bila mengingatkan tiga ekor anjing yang dibeli Leman. Namun dia terus melangkah kehadapan menuju destinasinya, rumah Pak Ropie.

Salakan anjing kedengaran semakin dekat seakan anjing itu berada dibelakangnya. Jubir menoleh kebelakang walaupun sebuah filem seram David Teoh menasihatkan ‘Jangan Pandang Belakang’. Suara hatinya membentak “Kau degil Jubir! Bukan kah David Teoh sudah berpesan jangan pandang belakang!”. “Ahh, persetankan itu semua. Kalau anjing itu betul-betul berada dibelakangku bagaimana? Mana mungkin aku punya waktu untuk memikirkan trek larianku nanti”, Jubir membalas. Jubir lantas memalingkan mukanya ke belakang. “Sial!! Bagaimana tiga ekor anjing penjaga kebun Leman ni boleh terlepas!”. Jubir mula cemas. Langkah kakinya tidak perlahan lagi. Beransur-ansur langkahnya melebar seiring dengan kelajuan anjing Leman mengejar. Jubir yakin benar ini semua konspirasi Leman. “Siap kau Leman!!” bentak Jubir dengan muka yang fokus terhadap trek lariannya. Bakul getah Samad Idau yang diletakkan di tepi jalan bersepah dilanggar Jubir. Gaya larian persis Watson Nyambek yang dipamerkan Jubir tidak menghairankan anjing-anging Leman. Anjing-anjing itu terus mengejar!


26 March 2011 – 0455 petang

Suatu petang yang cerah dihadapan kebun getah Leman.
“Hahaha...orang nak beli anjing, kau pun nak beli jugak. Tengok la anjing kau ni, tiga-tiga ekor anjing katik. Sekali aku terajang, bersepai gigi anjing-anjing kau!” gelak Jubir dari atas motor Honda C70 pemberian arwah ayahnya. “Tau takpe, lain kali beli anjing yang besar, tegap lagi garang. Baru la penyangak takut..hahaha”. Mail yang membonceng motor Jubir memberi nasi tambah. Leman terbungkam dengan hinaan Jubir dan Mail. Jauh dilubuk hatinya, anjing-anjing Chihuahua yang dibelinya ini sangat comel dan aktif. Leman yakin penyangak akan cabut lari bila dikejar Chihuahua yang aktif ini.


12 April 2011 - 0936 malam

Jubir terus berlari. Selipar jenama ‘Crocs’ tiruan yang dibelinya di pasar malam Pekan Jasin melayang entah kemana. Peluh jantan bercucuran menitis dari serata permukaan kulit badannya sehingga membasahi baju Pagoda yang dipakai. Air matanya mula terbit dek ketakutan yang amat sangat. Tidak pernah seumur hidup Jubir merasa takut sebegitu. Lampu jalan depan rumah Pak Ropie mula kelihatan berbalam-balam dari jauh. Jubir ingin segera sampai. Jubir sama sekali tidak akan menyerah kalah membiarkan betisnya dibaham anjing Chihuahua Leman. Lariannya bertambah kencang. Anjing-anjing Leman masih gagah mengejar walaupun semakin ketinggalan dibelakang Jubir.

Lagi 15 meter sebelum sampai di halaman rumah Pak Ropie, Jubir menjerit bagai nak gila. “Tolong Pak Ropie! Tolong Pak Ropie! Tolong Pak Ropie!” mengejutkan Pak Ropie yang sedang melayan tetamu yang datang. Tetamu yang bertandang ke rumah Pak Ropie terpinga-pinga. Pintu rumah Pak Ropie yang terbuka luas terus diredah Jubir. Kakinya tersadung pada bendul pintu dan Jubir jatuh berguling atas lantai, betul-betul disebelah sofa Pak Ropie. “Tolong aku Pak Ropie, anjing-anjing katik Leman tu dah gila agaknya. Aku yang tak bersalah ni dikejarnya” kata Jubir pada Pak Ropie. Serentak dengan itu terburailah gelak ketawa dari mulut tetamu Pak Ropie. Salah seorang dari tetamu tersebut ketawa hingga merah padam mukanya sambil sebelah tangan menepuk lantai. Tetamu itu adalah Mail. Leman yang duduk didepan Mail mengigil-gigil ketawa beserta getaran pada perut boroinya. Muka Jubir bertukar merah menahan malu. Kalau bulan lepas dia memperkecil-kecilkan kemampuan anjing katik Leman, kali ini dia yang menerima akibat. Mail yang dianggap teman rapat rupa-rupanya turut bersubahat menggelakkan Jubir. Anjing-anjing Chihuahua Leman sudah tidak kelihatan lagi, mungkin sudah berhenti mengejar setelah puas dapat mengenakan Jubir.

Jubir menyesal. Jubir tidak akan memperkecilkan anjing-anjing Chihuahua Leman lagi.

No comments:

Post a Comment

PENGEMBARAAN KE ANGOLA (Final)

Part akhir siri pengembaraan ke Angola ni dah lama aku fikirkan untuk di’publish’ ke dalam blog. Sela masa 2 tahun selepas part 3 disia...