Thursday, June 25, 2020

PENGEMBARAAN KE MUMBAI



Throwback tahun 2018 masa aku travel ke Mumbai selama 2 hari. Baru hari ni dapat upload dalam blog.

Aku ni datang bukanlah dari keluarga orang senang ataupun dari keluarga kelas pertengahan. Arwah bapak aku kerja sebagai Pekerja Rendah Am Khas (PRAK) di Jabatan Bekalan Air sedangkan mak aku pulak surirumah sepenuh masa. Maka aktiviti pelancongan kami sekeluarga waktu tu memang hanya berkisar pada pelancongan domestic. Contohnya melawat ke Taman Buaya, Mini Malaysia & Zoo Melaka di Ayer Keroh, mandi air terjun di Gunung Ledang dan paling jauh pun aku dengan mak ikut rombongan persatuan penduduk ke Kelantan. Kebanyakannya kami travel dengan menggunakan kereta Toyota KE 20 milik arwah ayah ataupun menaiki bas ekspress andai kata perjalanan tu jauh atau arwah ayah tak tahu jalan contohnya seperti ke Kuala Lumpur. Walaupun trip pelancongan kami tak la gah macam keluarga-keluarga berada/kelas pertengahan tetapi kami gembira. Pergi ke luar negara atau melancong dengan menggunakan kapal terbang umpama mimpi yang sukar jadi kenyataan bagi kami waktu tu. Arwah ayah dan mak akhirnya dapat naik kapal terbang dulu semasa mengerjakan haji pada tahun 2007. Bagi aku, peluang tu datang lepas aku bekerja dan berkahwin dan aku memang betul-betul menghargai peluang tu.

Disebabkan itu, arahan company untuk melakukan tugasan pendek di Angola pada tahun 2017 aku sambut dengan senyum yang lebar. Tak kira la susah macam mana pun tugasan, yang penting aku dapat travel ke negara orang tanpa mengeluarkan 1 sen pun belanja kos perjalanan. Dan penginapan di hotel selama seminggu ditanggung company. Nikmat tuhan yang mana nak kau dustakan?

Lebih kurang 2 tahun lepas aku balik dari tugasan di Luanda ibu negara Angola, aku dapat satu lagi peluang tugasan di luar negara. Tugasan kali ni adalah meeting dengan client company aku (pada waktu tu) untuk membida satu projek membina sebuah FPSO (Floating Production Storage & Offloading). Client adalah sebuah syarikat gergasi di negara India yang mana HQ nya terletak di Mumbai (nama lamanya adalah Bombay yang kemudiannya ditukar ke Mumbai pada tahun 1995). Pada sesiapa yang minat dengan filem hindi confirm tau yang Mumbai atau Bombay ni adalah Hollywood India atau dikenali sebagai Bollywood. Kat Mumbai ni la pusat operasi banyak syarikat-syarikat produksi filem hindi. Selain itu, banyak juga syarikat-syarikat terkemuka India beroperasi di sini seperti Reliance Industries Limited milik keluarga Ambani, State Bank of India, Tata Motors dan Bharat Petroleum Corporation Limited. Disebabkan itu, tak hairanlah Mumbai adalah bandar kedua terbesar di India selepas Delhi namun dengan populasi seramai 12.5 juta orang, Mumbai berada di ranking pertama dari segi jumlah populasi di India. Di dunia, Mumbai berada di ranking ke-7 diantara bandar-bandar dunia yang lain yang mempunyai populasi penduduk paling ramai.

Berbalik pada business trip aku ke Mumbai. Lebih kurang 2 minggu sebelum berangkat, aku kena memohon visa lawatan ke India secara online di website https://indianvisaonline.gov.in/. Setiap permohonan visa dikenakan bayaran sebanyak USD80 ataupun kira-kira MYR320 (USD1 = MYR4). Tempoh sah visa untuk business trip adalah 2 bulan atau 3 kali kemasukan ke India bermula dari hari ketibaan kita di India. Status permohonan akan diberitahu dalam masa lebih kurang 4 hari selepas permohonan.

Aku tiba di Chhatrapati Shivaji Maharaj International Airport Mumbai pada pukul 10 malam waktu Malaysia (8 malam waktu Mumbai) selepas lebih kurang 5 jam penerbangan dari KLIA. Waktu di Mumbai adalah 2 jam lewat berbanding dengan waktu di Malaysia. Bersama-sama dengan aku ada 3 orang lagi iaitu Principal Process Engineer (John), Project Management Manager (En. Syed) & Proposal Manager (Ms. Cherry). Di sana juga kami bertemu dengan rakan sepejabat (Principal Estimator) warga negara India (Rahul) yang juga akan menghadiri meeting yang sama cuma dia naik penerbangan yang tiba lebih awal.

Aku perhatikan airport ni agak luas dengan senibina moden. Di balai ketibaan, seperti airport lain juga terdapat banyak kaunter imigresen bagi pelawat mendaftarkan diri sebelum dibenarkan masuk. Terdapat satu ruang bagi keturunan India dari luar negara untuk mengisi borang khas. Aku rasa keturunan India yang bukan warganegara India dikehendaki mengisi borang khas sebagai syarat tambahan sebelum mereka dibenarkan masuk (pembaca boleh membetulkan kenyataan ini andai ianya kurang tepat). Contohnya seperti India warganegara Malaysia, Singapura, Suriname dan sebagainya. Seperti yang kita sedia maklum diaspora India ni dah tersebar ke seluruh pelusuk dunia sejak beratus-ratus tahun yang lalu kebanyakannya hasil daripada aktiviti perladangan oleh syarikat-syarikat milik penjajah. Penjajah British dan Belanda telah membawa masuk tenaga buruh (lebih kepada hamba abdi sebenarnya) daripada India (yang ketika itu dibawah penjajahan British) untuk berkerja di ladang-ladang milik mereka di seluruh dunia.

Selepas urusan pemeriksaan passport, kami berlima menuju ke lobi lapangan terbang untuk menunggu pihak hotel mengambil kami. Sedikit salah faham antara kami dan pihak hotel (Ramada Navi Mumbai) menyebabkan kelewatan transportation kami dari airport ke hotel. Lebih kurang 20 minit menunggu, akhirnya kenderaan yang mengambil kami tiba. Kami berpecah kepada 2 group disebabkan kami berlima maka tak muat kalau disumbat dalan 1 kereta. Terdapat 2 kereta sedan yang datang dan aku naik satu kereta dengan John dan Rahul. 

Kenderaan yang membawa kami mula bergerak diatas jalan raya membelah hiruk pikuk bandar Mumbai. Berada ditengah-tengah kesesakan trafik di Mumbai adalah satu pengalaman yang sama sekali berbeza dengan kesesakan trafik di Kuala Lumpur. Jalanraya penuh dengan pelbagai jenis kenderaan. Bunyi hon di sana sini tak putus-putus. Garisan jalan kebanyakannya aku perhatikan dah pudar dan kenderaan bergerak diatas jalan tanpa mengikut garisan. Semuanya berpusu-pusu, menyelit dimana ada ruang yang kosong tak kira ianya motosikal, kereta ataupun lori kecil. Hon dibunyikan sebagai memberitahu kenderaan di kiri dan kanan supaya tidak bergesel antara satu sama lain. Kalau di Malaysia, pemandu sangat sensitif dengan bunyi hon. Silap haribulan boleh bertumbuk kat situ jugak. Di Malaysia, bunyi hon kebanyakan waktu ditafsirkan sebagai kurang ajar oleh pemandu. Di India, ia tak begitu. Pemandu disini seolah terbiasa dengan fungsi hon sebagai signal terdapatnya kenderaan lain berhampiran di kiri dan kanan. Tiada langsung kemalangan yang berlaku sepanjang jalan dari airport ke hotel yang memakan masa hampir 2 jam disebabkan kesesakan trafik Mumbai.

Kami akhirnya sampai di hotel dan tak semena-mena driver meminta tips. Memandangkan aku duduk di depan, maka aku dengan selamba menjawab ‘sorry, I don’t have cash in my wallet’ sambil buat sengeh kerang. Driver cuma akur dengan muka yang muram. Sebenarnya aku ada simpan dalam 2000 rupee (yang aku tukar sebelum berangkat) dan sikit matawang USD dalam wallet tapi itu untuk kegunaan aku untuk kes-kes kecemasan. Sejak terkena di Angola, aku memang standby USD dalam wallet untuk kecemasan walaupun tak banyak memandangkan USD boleh digunakan hampir di seluruh negara di dunia.

Di lobi hotel ini juga telah ditempatkan satu gerbang pengimbas logam seperti yang terdapat di airport. Ia agak mengejutkan kami tetapi kami kemudiannya diberitahu ianya adalah satu langkah pencegahan daripada berulangnya tragedi serangan pengganas di Mumbai pada tahun 2008. Setiap dari kami akan diimbas termasuklah luggage yang kami bawa. Selepas diimbas dah dilepaskan oleh pengawal, barulah kami boleh masuk ke dalam hotel dan menuju ke kaunter reception untuk daftar masuk. Setiap dari kami dapat 1 bilik penginapan. Bilik di hotel ni pada aku agak selesa sampaikan aku terus terlelap lepas siap mandi dan solat. Esok kami akan ke HQ client untuk mensyuarat.

Mesin pengimbas di hadapan pintu hotel 

Esoknya aku bersiap awal dan terus ke coffee house untuk mengintai apakah sarapan yang telah disediakan. Sampai di coffee house aku tengok En. Syed dah duduk terpacak di salah satu meja makan sambil menikmati kopi panas dan sandwich. Kelihatan juga John duduk semeja bertentangan dengan En. Syed. Kedua-duanya masih memakai t-shirt dan berseluar trek. Nampaknya aku sorang je la yang dah bersiap awal ni. En. Syed kemudiannya memanggil aku dari jauh mungkin dia perasan aku tengah terhendap-hendap aneka sarapan yang disediakan. “Saiful, kenapa awal sangat kau bersiap? Sarapan la dulu” kata En. Syed. Aku balas dengan senyuman je.  Lepas ambik 2-3 keping sandwich dan kopi, aku terus duduk join mereka.  

Teksi roda 3 sedang menunggu pelanggan

Lebih kurang pukul 8 pagi, kami dah siap menunggu di lobi hotel. Transportation sampai tak lama kemudian. Hotel tolong panggil Grab je rupanya. Lagi senang kan. Perjalanan dari hotel ke HQ client takla jauh sangat dan tak berapa sesak. Trafik Mumbai macam malam tadi la meriah dengan bunyi hon. Baru la pagi ni aku dapat tengok depan mata teksi roda 3 yang selalu aku tengok kat dalam filem hidustan. Dalam filem tu model-model lama tapi yang aku tengok ni banyak dah tukar ke model baru. Trademark warna hitam kuning tu masih lagi dikekalkan. Suasana pagi di Mumbai sama macam di Malaysia juga dimana pekerja berpusu-pusu ke tempat kerja masing-masing namun disini jumlah umat manusianya lagi ramai. Ada yang jalan kaki, naik motor, naik teksi roda 3 dan Grab. Ada juga aku perhatikan perkhidmatan seperti Komuter di Malaysia (dipanggil Sub-urban Railway) dengan penumpang train tu sampai melimpah-limpah di pintu train. Aku perhatikan dari jauh sebab jalan ke HQ client tu ada masanya selari dengan landasan keretapi.  

Dalam perjalanan ke HQ client

Mumbai Suburban Railway

Lebih kurang pukul 8.30 pagi kami sampai di bangunan sekuriti HQ client kami. Setaip orang dari kami perlu mendaftar dengan menunjukkan passport dan invitation email dari pihak client. Setiap orang akan dapat 1 pass visitor sebelum dibenarkan memasuki kompleks HQ. Terdapat beberapa pintu masuk yang dikawal oleh security seperti polis bantuan. Tapi ni bukan calang-calang polis bantuan yang pakai cota macam di Malaysia. Polis bantuan (ke memang askar betul? Aku pun tak pasti) ni siap baju celoreng dan menyandang rifle. Rifle seakan model AK47 buatan Soviet atau Mpi-KmS 72 buatan German. Siapa buat hal memang bersarang peluru di badan. Meeting kami berlangsung seharian dan balik ke hotel dah lewat petang. Waktu ni aku bertiga dengan En. Syed dan Ms. Cherry Berjaya dapatkan sebuah teksi di tepi jalan untuk pulang ke hotel. Sampai di hotel hari dah gelap dan kami terus makan malam. Seperti kita tau, sajian daging lembu adalah dilarang di India. Maka menu yang ada di hotel tiada yang berasaskan daging lembu. Aku Cuma makan nasi berlaukkan ikan dan sayur kerana yang lain-lain dikhuatiri tidak halal. Sebelah tray ikan tu pulak adalah tray lauk berasaskan babi. Dalam keadaan darurat macam ni aku tak boleh memilih sangat, makan je apa yang aku rasa halal untuk dimakan macam ikan dan sayur. Ya, mungkin dia masak dalam bekas yang sama dengan lauk babi tadi Cuma aku taknak fikir detail sampai ke situ. Selesai dinner aku naik bilik. Rutin ni berlangsung selama dua hari aku di Mumbai.

AK-47

Mpi-KmS 72

Hari terakhir kami bergegas balik ke hotel untuk mengejar flight yang dijadualkan pukul 10 malam waktu Mumbai. Segala bil hotel aku kena bayarkan dulu dan claim ke company semasa di office nanti. Bil hotel mencecah 20 ribu rupee sedangkan aku Cuma ada 2 ribu rupee dalam wallet. Disebabkan aku pun keliru dengan currency rupee India yang selamba main jumlah ribu-ribu ni, aku jadi gabra sambil keluarkan semua not rupee yang ada dalam wallet. Receptionist tengok semua not-not tu dan kata “all this only 2000 rupee sir, still not enough”. Cilakak! aku cakap dalam hati. Terus aku keluarkan kad kredit sebagai jalan penyelesaian yang bernas dan tuntas. Kad kredit aku disedut hampir 30 ribu rupee malam tu sebab selain bayar bil hotel, aku guna kad kredit untuk shopping fridge magnet dan buah tangan kat airport. Aku hampir nak beli buku Kamasutra kat satu book store di ruang niaga balai pelepasan airport. Harga cuma sekitar 600 rupee (MYR30++). Tapi aku risau kantoi kat kastam KLIA pulak. Malu oi kalau kantoi bawak buku Kamasutra. Aku batalkan niat tu. Itulah kali pertama dan kali terakhir aku pegang Kamasutra real book. Pengalaman jugak tu kan.heheh. Yang jaga airport ni pun semua tentera aku rasa sebab masing-masing beruniform loreng dan meyandang rifle. Pemeriksaan sebelum check in jugak agak ketat.

Tepat pukul 10 malam aku berlepas pulang ke tanah air.

Sewa teksi kecik untuk balik ke hotel

Lunch pack disediakan Client. Boleh tahan la rasa dia.

 *Untuk menjaga privasi, nama-nama yang disebutkan di dalam posting ni adalah bukan nama sebenar kecuali nama aku la.

* Gambar yang aku ambik pun tak banyak sebab risau mungkin sesetengah tempat tu adalah tempat sensitif. 

 


No comments:

Post a Comment

PENGEMBARAAN KE ANGOLA (Final)

Part akhir siri pengembaraan ke Angola ni dah lama aku fikirkan untuk di’publish’ ke dalam blog. Sela masa 2 tahun selepas part 3 disia...