Friday, June 26, 2020

PENGEMBARAAN KE ANGOLA (Final)


Part akhir siri pengembaraan ke Angola ni dah lama aku fikirkan untuk di’publish’ ke dalam blog. Sela masa 2 tahun selepas part 3 disiarkan adalah kerana aku kurang yakin nak ceritakan true story yang mungkin sensitif untuk disiarkan dalam blog pada waktu tu. Seperti yang kita maklum, rata-rata negara afrika menghadapi masalah integrity dan masalah ini yang aku hadapi semasa aku dalam proses check in untuk penerbangan pulang. Iya, walaupun tak la seteruk mana tapi selagi kita berada di negara asing apa-apa boleh berlaku dan kita jauh dari pertolongan sahabat handai atau saudara mara. Tambahan lagi Malaysia tidak menempatkan pejabat kedutaan ataupun konsulat di Angola. Kedutaan Malaysia di Republik Namibia yang akan ‘cover’ apa-apa isu berkaitan warga Malaysia di Angola dan Congo. Ada dua negara berlainan yang menggunakan nama Congo iaitu Republik Congo dan Republik Demokratik Congo.

Angola yang dikelilingi Rep. Namibia, DR Congo & Rep. Congo

Selepas 7 hari berada di Luanda, sampai masanya aku pulang ke tanah air. Flight aku pada hari Sabtu pukul 6 petang waktu Angola. Pagi Sabtu aku sempat masuk office half day untuk selesaikan mana-mana baki kerja. Menjelang tengahari aku dah berada di bilik hotel dan bersiap-siap. Aku ingat lagi pesan member-member yang ada pengalaman sebelum ni supaya jangan bawa keluar matawang Kwanza (matawang negara Angola). Matawang Kwanza yang mungkin ada terselit dalam wallet akan dirampas semasa pemeriksaan oleh officer di airport kerana membawa keluar matawang Kwanza daripada negara Angola adalah satu kesalahan. Dan lagi satu, kalau boleh sorok not USD yang ada sebab ada officer airport yang sengaja ‘pau’ not USD dari penumpang sebelum berlepas. Jadi, dalam bilik hotel sebelum turun check out aku sorok not-not USD yang tak banyak pun, lebih kurang USD60 yang aku tukar di K.L sebelum berangkat ke Angola. Aku sorokkan dalam stokin. Not USD nilai kecik (USD 5 & 10) sekeping dua aku biarkan aje dalam wallet. Senang nak keluarkan kalau-kalau nak beli barang kat airport nanti.

Selesai proses check out hotel, aku lepak kat lobi sementara menunggu ketibaan driver untuk bawa aku ke airport. Tiba-tiba datang seorang staf hotel menyapa aku meminta aku ke kaunter reception. Sudah, apahal pulak ni kata aku dalam hati. Rupanya aku kena selesaikan bil telefon yang aku guna masa hari pertama aku sampai dulu. Aku ingat hari pertama dulu aku ada guna telefon hotel untuk telefon Project Engineer & Construction Superintendant. Cuma nak bagitau aku dah sampai dan tanya macam mana aku nak ke office. “Sorry sir, you need to pay Kwanza XX.00 (aku tak ingat nilai dalam Kwanza tapi lebih kurang USD20) for telephone bill”. Damn, aku mana ada Kwanza. USD ada la tapi dalam stokin. Aku tanya receptionist tu balik “do you accept USD and how much is that?”.  Dia senyum, “yes of course, its about USD20 sir”. Lega. Aku seboleh-bolehnya taknak gunakan kad kredit. “Ok, wait a moment”. Aku terus membongkok buka kasut, buka stokin untuk keluarkan not USD50. Mujur takde pelawat atau staf yang memandang. Lepas selesai membayar bil telefon, driver pun datang. Dalam perjalanan ke airport aku tak cakap sepatah apa pun dengan driver tu. Dua-dua diam. Aku sampai di airport selepas 20 minit perjalanan.

Tiba di pintu masuk airport aku disapa seorang officer berbadan besar. “Where is your passport? Show it to me please”. Tanpa banyak soal aku terus hulurkan passport aku kat dia. Officer tu membaca detail yang tertulis dalam passport aku. “Oo, you from Malaysia, you have Kwanza?” soal officer tu. Aku jawab “no sir, I did not bring any Kwanza”. Dia serahkan balik passport aku dan  melepaskan aku masuk untuk check in. Sebelum sampai ke kaunter check in, seorang lagi officer memeriksa passport aku. Dia cuma menyemak detail dan menyerahkan kembali passport aku tanpa banyak soal.

Kemudian aku terus check in di kaunter dan serahkan luggage. Beg sandang yang ada laptop aku bawak hand carry. Selesai proses check in dan serahkan luggage, aku terus menuju ke kaunter pemeriksaan hand carry luggage. Terdapat 2-3 orang officer yang bertugas disitu dan mana-mana luggage yang mencurigakan akan dibuka disitu juga untuk diperiksa. Aku perhatikan salah seorang officer sedang menyoal 2 orang penumpang warganegara China sebab penumpang tu bawa banyak ole-ole dalam hand carry luggage (berupa rantai dan gelang diperbuat daripada manik). Aku terdengar yang officer tu bagitau mereka berdua kena declare kesemua ole-ole yang dibawa dan perlu membayar cukai. Lighter pun diorang sumbat masuk dalam beg luggage hand carry tu. Dah sah-sah lighter adalah bahan yang dilarang. Ditambah dengan masalah komunikasi antara penumpang warganegara China dengan officer, sesi soal menyoal kelihatan agak tegang. Aku pulak sekadar scan beg sandang dan lepas pemeriksaan tanpa banyak soal.

Selesai scan bag sandang, aku menuju ke kaunter imegresen untuk cop keluar pada passport. Officer yang bertugas kat kaunter tu muka punya la serius macam nak makan orang. Aku buat muka innocent je la kan.haha

Kaunter imigresen tadi bukan yang terakhir, selesai cop keluar passport aku kena beratur pulak untuk body check dalam 1 bilik kecik. Lelaki dan wanita diperiksa dalam bilik yang berbeza dimana officer wanika akan melakukan body check untuk penumpang wanita. Dalam bilik ada seorang officer yang aku rasa tak tau cakap English. Dia melakukan body check dan memeriksa beg sandang aku. Kemudian bertanya “any Dollar? Kwanza?”. Jari telunjuk dia tunjuk sampel not USD & Kwanza yang terlekat pada notice board di dalam bilik tersebut. Aku cakap “no sir, I don’t have Kwanza and Dollar”. Dia macam tak puas hati. Aku keluarkan wallet dari kocek dan tunjuk helaian not-not Ringgit dan Dirham UAE yang aku tukar masa di Dubai Airport. Sebenarnya ada terselit USD5 dan USD10 diantara not-not tu tapi aku selak cepat-cepat supaya dia tak perasan. Aku faham dengan peraturan larangan bawak keluar Kwanza tapi apehal pulak dia nak tanya pasal not USD? Lepas dia berpuas hati, aku dilepaskan. Lega.

Aku ke ruang kedai di tepi balai pelepasan cari fridge magnet yang wife aku pesan. Tak banyak lot kedai yang aku perhatikan. Ada lot kedai yang tutup dan ada 1 kedai je jual fridge magnet Angola. Aku tanya harga. Dia kata USD20..bapak la mahal (lebih kurang MYR80++) untuk sekeping fridge magnet. Cadangan aku nak belikan dalam 5 keping untuk adik beradik tak kesampaian la nampaknya. Kalau beli 5 keping dah USD100 (lebih kurang MYR400) aku kena bayar. Aku beli sekeping je. Penjual tu minta aku bayar dalam matawang USD. Aku sengaja menduga kenapa dia taknak terima Kwanza. “Kwanza no value, USD high value” balasnya sambil tersengeh.

Dari balai berlepas ke pesawat kami dibawa dengan menaiki bas berhawa dingin. Jarak dari balai berlepas ke pesawat adalah lebih kurang 1 kilometer. Sebelum menaiki pesawat, sekali lagi beg hand carry penumpang diimbas dengan mesin imbas mudah alih di dalam sebuah van. Waktu beratur untuk menaiki pesawat aku nampak ramai yang mengeluarkan telefon dan ambik gambar buat kenangan. Setengah jam kemudian pesawat berlepas dari Quatro de Fevereiro Airport. Babai Luanda.

Gambar dari dalam bas dari balai berlepas menuju ke pesawat

Selfie sebelum menaiki pesawat

Balai berlepas di Dubai Airport (transit ke KLIA)

Sebelum berlepas ke KLIA


Pada aku Angola ni negara yang menarik dan rare. Orang Malaysia selalu melancong ke negara-negara Eropah, Asia dan Amerika Utara tapi jarang dengar orang melancong ke Afrika (selain Egypt dan Morocco)  dan Amerika Selatan. Mungkin antara sebabnya adalah kos yang tinggi dan ketidakstabilan politik. Jadi peluang aku sampai di Angola ni agak rare jugak la kan. Maaf gambar yang terhad sebab sepanjang aku di Luanda, rutin aku cuma di hotel & di pejabat. Tiada masa untuk berjalan keliling kota atas nasihat pihak company (faktor keselamatan).  



Thursday, June 25, 2020

PENGEMBARAAN KE MUMBAI



Throwback tahun 2018 masa aku travel ke Mumbai selama 2 hari. Baru hari ni dapat upload dalam blog.

Aku ni datang bukanlah dari keluarga orang senang ataupun dari keluarga kelas pertengahan. Arwah bapak aku kerja sebagai Pekerja Rendah Am Khas (PRAK) di Jabatan Bekalan Air sedangkan mak aku pulak surirumah sepenuh masa. Maka aktiviti pelancongan kami sekeluarga waktu tu memang hanya berkisar pada pelancongan domestic. Contohnya melawat ke Taman Buaya, Mini Malaysia & Zoo Melaka di Ayer Keroh, mandi air terjun di Gunung Ledang dan paling jauh pun aku dengan mak ikut rombongan persatuan penduduk ke Kelantan. Kebanyakannya kami travel dengan menggunakan kereta Toyota KE 20 milik arwah ayah ataupun menaiki bas ekspress andai kata perjalanan tu jauh atau arwah ayah tak tahu jalan contohnya seperti ke Kuala Lumpur. Walaupun trip pelancongan kami tak la gah macam keluarga-keluarga berada/kelas pertengahan tetapi kami gembira. Pergi ke luar negara atau melancong dengan menggunakan kapal terbang umpama mimpi yang sukar jadi kenyataan bagi kami waktu tu. Arwah ayah dan mak akhirnya dapat naik kapal terbang dulu semasa mengerjakan haji pada tahun 2007. Bagi aku, peluang tu datang lepas aku bekerja dan berkahwin dan aku memang betul-betul menghargai peluang tu.

Disebabkan itu, arahan company untuk melakukan tugasan pendek di Angola pada tahun 2017 aku sambut dengan senyum yang lebar. Tak kira la susah macam mana pun tugasan, yang penting aku dapat travel ke negara orang tanpa mengeluarkan 1 sen pun belanja kos perjalanan. Dan penginapan di hotel selama seminggu ditanggung company. Nikmat tuhan yang mana nak kau dustakan?

Lebih kurang 2 tahun lepas aku balik dari tugasan di Luanda ibu negara Angola, aku dapat satu lagi peluang tugasan di luar negara. Tugasan kali ni adalah meeting dengan client company aku (pada waktu tu) untuk membida satu projek membina sebuah FPSO (Floating Production Storage & Offloading). Client adalah sebuah syarikat gergasi di negara India yang mana HQ nya terletak di Mumbai (nama lamanya adalah Bombay yang kemudiannya ditukar ke Mumbai pada tahun 1995). Pada sesiapa yang minat dengan filem hindi confirm tau yang Mumbai atau Bombay ni adalah Hollywood India atau dikenali sebagai Bollywood. Kat Mumbai ni la pusat operasi banyak syarikat-syarikat produksi filem hindi. Selain itu, banyak juga syarikat-syarikat terkemuka India beroperasi di sini seperti Reliance Industries Limited milik keluarga Ambani, State Bank of India, Tata Motors dan Bharat Petroleum Corporation Limited. Disebabkan itu, tak hairanlah Mumbai adalah bandar kedua terbesar di India selepas Delhi namun dengan populasi seramai 12.5 juta orang, Mumbai berada di ranking pertama dari segi jumlah populasi di India. Di dunia, Mumbai berada di ranking ke-7 diantara bandar-bandar dunia yang lain yang mempunyai populasi penduduk paling ramai.

Berbalik pada business trip aku ke Mumbai. Lebih kurang 2 minggu sebelum berangkat, aku kena memohon visa lawatan ke India secara online di website https://indianvisaonline.gov.in/. Setiap permohonan visa dikenakan bayaran sebanyak USD80 ataupun kira-kira MYR320 (USD1 = MYR4). Tempoh sah visa untuk business trip adalah 2 bulan atau 3 kali kemasukan ke India bermula dari hari ketibaan kita di India. Status permohonan akan diberitahu dalam masa lebih kurang 4 hari selepas permohonan.

Aku tiba di Chhatrapati Shivaji Maharaj International Airport Mumbai pada pukul 10 malam waktu Malaysia (8 malam waktu Mumbai) selepas lebih kurang 5 jam penerbangan dari KLIA. Waktu di Mumbai adalah 2 jam lewat berbanding dengan waktu di Malaysia. Bersama-sama dengan aku ada 3 orang lagi iaitu Principal Process Engineer (John), Project Management Manager (En. Syed) & Proposal Manager (Ms. Cherry). Di sana juga kami bertemu dengan rakan sepejabat (Principal Estimator) warga negara India (Rahul) yang juga akan menghadiri meeting yang sama cuma dia naik penerbangan yang tiba lebih awal.

Aku perhatikan airport ni agak luas dengan senibina moden. Di balai ketibaan, seperti airport lain juga terdapat banyak kaunter imigresen bagi pelawat mendaftarkan diri sebelum dibenarkan masuk. Terdapat satu ruang bagi keturunan India dari luar negara untuk mengisi borang khas. Aku rasa keturunan India yang bukan warganegara India dikehendaki mengisi borang khas sebagai syarat tambahan sebelum mereka dibenarkan masuk (pembaca boleh membetulkan kenyataan ini andai ianya kurang tepat). Contohnya seperti India warganegara Malaysia, Singapura, Suriname dan sebagainya. Seperti yang kita sedia maklum diaspora India ni dah tersebar ke seluruh pelusuk dunia sejak beratus-ratus tahun yang lalu kebanyakannya hasil daripada aktiviti perladangan oleh syarikat-syarikat milik penjajah. Penjajah British dan Belanda telah membawa masuk tenaga buruh (lebih kepada hamba abdi sebenarnya) daripada India (yang ketika itu dibawah penjajahan British) untuk berkerja di ladang-ladang milik mereka di seluruh dunia.

Selepas urusan pemeriksaan passport, kami berlima menuju ke lobi lapangan terbang untuk menunggu pihak hotel mengambil kami. Sedikit salah faham antara kami dan pihak hotel (Ramada Navi Mumbai) menyebabkan kelewatan transportation kami dari airport ke hotel. Lebih kurang 20 minit menunggu, akhirnya kenderaan yang mengambil kami tiba. Kami berpecah kepada 2 group disebabkan kami berlima maka tak muat kalau disumbat dalan 1 kereta. Terdapat 2 kereta sedan yang datang dan aku naik satu kereta dengan John dan Rahul. 

Kenderaan yang membawa kami mula bergerak diatas jalan raya membelah hiruk pikuk bandar Mumbai. Berada ditengah-tengah kesesakan trafik di Mumbai adalah satu pengalaman yang sama sekali berbeza dengan kesesakan trafik di Kuala Lumpur. Jalanraya penuh dengan pelbagai jenis kenderaan. Bunyi hon di sana sini tak putus-putus. Garisan jalan kebanyakannya aku perhatikan dah pudar dan kenderaan bergerak diatas jalan tanpa mengikut garisan. Semuanya berpusu-pusu, menyelit dimana ada ruang yang kosong tak kira ianya motosikal, kereta ataupun lori kecil. Hon dibunyikan sebagai memberitahu kenderaan di kiri dan kanan supaya tidak bergesel antara satu sama lain. Kalau di Malaysia, pemandu sangat sensitif dengan bunyi hon. Silap haribulan boleh bertumbuk kat situ jugak. Di Malaysia, bunyi hon kebanyakan waktu ditafsirkan sebagai kurang ajar oleh pemandu. Di India, ia tak begitu. Pemandu disini seolah terbiasa dengan fungsi hon sebagai signal terdapatnya kenderaan lain berhampiran di kiri dan kanan. Tiada langsung kemalangan yang berlaku sepanjang jalan dari airport ke hotel yang memakan masa hampir 2 jam disebabkan kesesakan trafik Mumbai.

Kami akhirnya sampai di hotel dan tak semena-mena driver meminta tips. Memandangkan aku duduk di depan, maka aku dengan selamba menjawab ‘sorry, I don’t have cash in my wallet’ sambil buat sengeh kerang. Driver cuma akur dengan muka yang muram. Sebenarnya aku ada simpan dalam 2000 rupee (yang aku tukar sebelum berangkat) dan sikit matawang USD dalam wallet tapi itu untuk kegunaan aku untuk kes-kes kecemasan. Sejak terkena di Angola, aku memang standby USD dalam wallet untuk kecemasan walaupun tak banyak memandangkan USD boleh digunakan hampir di seluruh negara di dunia.

Di lobi hotel ini juga telah ditempatkan satu gerbang pengimbas logam seperti yang terdapat di airport. Ia agak mengejutkan kami tetapi kami kemudiannya diberitahu ianya adalah satu langkah pencegahan daripada berulangnya tragedi serangan pengganas di Mumbai pada tahun 2008. Setiap dari kami akan diimbas termasuklah luggage yang kami bawa. Selepas diimbas dah dilepaskan oleh pengawal, barulah kami boleh masuk ke dalam hotel dan menuju ke kaunter reception untuk daftar masuk. Setiap dari kami dapat 1 bilik penginapan. Bilik di hotel ni pada aku agak selesa sampaikan aku terus terlelap lepas siap mandi dan solat. Esok kami akan ke HQ client untuk mensyuarat.

Mesin pengimbas di hadapan pintu hotel 

Esoknya aku bersiap awal dan terus ke coffee house untuk mengintai apakah sarapan yang telah disediakan. Sampai di coffee house aku tengok En. Syed dah duduk terpacak di salah satu meja makan sambil menikmati kopi panas dan sandwich. Kelihatan juga John duduk semeja bertentangan dengan En. Syed. Kedua-duanya masih memakai t-shirt dan berseluar trek. Nampaknya aku sorang je la yang dah bersiap awal ni. En. Syed kemudiannya memanggil aku dari jauh mungkin dia perasan aku tengah terhendap-hendap aneka sarapan yang disediakan. “Saiful, kenapa awal sangat kau bersiap? Sarapan la dulu” kata En. Syed. Aku balas dengan senyuman je.  Lepas ambik 2-3 keping sandwich dan kopi, aku terus duduk join mereka.  

Teksi roda 3 sedang menunggu pelanggan

Lebih kurang pukul 8 pagi, kami dah siap menunggu di lobi hotel. Transportation sampai tak lama kemudian. Hotel tolong panggil Grab je rupanya. Lagi senang kan. Perjalanan dari hotel ke HQ client takla jauh sangat dan tak berapa sesak. Trafik Mumbai macam malam tadi la meriah dengan bunyi hon. Baru la pagi ni aku dapat tengok depan mata teksi roda 3 yang selalu aku tengok kat dalam filem hidustan. Dalam filem tu model-model lama tapi yang aku tengok ni banyak dah tukar ke model baru. Trademark warna hitam kuning tu masih lagi dikekalkan. Suasana pagi di Mumbai sama macam di Malaysia juga dimana pekerja berpusu-pusu ke tempat kerja masing-masing namun disini jumlah umat manusianya lagi ramai. Ada yang jalan kaki, naik motor, naik teksi roda 3 dan Grab. Ada juga aku perhatikan perkhidmatan seperti Komuter di Malaysia (dipanggil Sub-urban Railway) dengan penumpang train tu sampai melimpah-limpah di pintu train. Aku perhatikan dari jauh sebab jalan ke HQ client tu ada masanya selari dengan landasan keretapi.  

Dalam perjalanan ke HQ client

Mumbai Suburban Railway

Lebih kurang pukul 8.30 pagi kami sampai di bangunan sekuriti HQ client kami. Setaip orang dari kami perlu mendaftar dengan menunjukkan passport dan invitation email dari pihak client. Setiap orang akan dapat 1 pass visitor sebelum dibenarkan memasuki kompleks HQ. Terdapat beberapa pintu masuk yang dikawal oleh security seperti polis bantuan. Tapi ni bukan calang-calang polis bantuan yang pakai cota macam di Malaysia. Polis bantuan (ke memang askar betul? Aku pun tak pasti) ni siap baju celoreng dan menyandang rifle. Rifle seakan model AK47 buatan Soviet atau Mpi-KmS 72 buatan German. Siapa buat hal memang bersarang peluru di badan. Meeting kami berlangsung seharian dan balik ke hotel dah lewat petang. Waktu ni aku bertiga dengan En. Syed dan Ms. Cherry Berjaya dapatkan sebuah teksi di tepi jalan untuk pulang ke hotel. Sampai di hotel hari dah gelap dan kami terus makan malam. Seperti kita tau, sajian daging lembu adalah dilarang di India. Maka menu yang ada di hotel tiada yang berasaskan daging lembu. Aku Cuma makan nasi berlaukkan ikan dan sayur kerana yang lain-lain dikhuatiri tidak halal. Sebelah tray ikan tu pulak adalah tray lauk berasaskan babi. Dalam keadaan darurat macam ni aku tak boleh memilih sangat, makan je apa yang aku rasa halal untuk dimakan macam ikan dan sayur. Ya, mungkin dia masak dalam bekas yang sama dengan lauk babi tadi Cuma aku taknak fikir detail sampai ke situ. Selesai dinner aku naik bilik. Rutin ni berlangsung selama dua hari aku di Mumbai.

AK-47

Mpi-KmS 72

Hari terakhir kami bergegas balik ke hotel untuk mengejar flight yang dijadualkan pukul 10 malam waktu Mumbai. Segala bil hotel aku kena bayarkan dulu dan claim ke company semasa di office nanti. Bil hotel mencecah 20 ribu rupee sedangkan aku Cuma ada 2 ribu rupee dalam wallet. Disebabkan aku pun keliru dengan currency rupee India yang selamba main jumlah ribu-ribu ni, aku jadi gabra sambil keluarkan semua not rupee yang ada dalam wallet. Receptionist tengok semua not-not tu dan kata “all this only 2000 rupee sir, still not enough”. Cilakak! aku cakap dalam hati. Terus aku keluarkan kad kredit sebagai jalan penyelesaian yang bernas dan tuntas. Kad kredit aku disedut hampir 30 ribu rupee malam tu sebab selain bayar bil hotel, aku guna kad kredit untuk shopping fridge magnet dan buah tangan kat airport. Aku hampir nak beli buku Kamasutra kat satu book store di ruang niaga balai pelepasan airport. Harga cuma sekitar 600 rupee (MYR30++). Tapi aku risau kantoi kat kastam KLIA pulak. Malu oi kalau kantoi bawak buku Kamasutra. Aku batalkan niat tu. Itulah kali pertama dan kali terakhir aku pegang Kamasutra real book. Pengalaman jugak tu kan.heheh. Yang jaga airport ni pun semua tentera aku rasa sebab masing-masing beruniform loreng dan meyandang rifle. Pemeriksaan sebelum check in jugak agak ketat.

Tepat pukul 10 malam aku berlepas pulang ke tanah air.

Sewa teksi kecik untuk balik ke hotel

Lunch pack disediakan Client. Boleh tahan la rasa dia.

 *Untuk menjaga privasi, nama-nama yang disebutkan di dalam posting ni adalah bukan nama sebenar kecuali nama aku la.

* Gambar yang aku ambik pun tak banyak sebab risau mungkin sesetengah tempat tu adalah tempat sensitif. 

 


Tuesday, June 9, 2020

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) DI MALAYSIA





Berikut adalah apa yang berlaku sepanjang berjalannya Perintah Kawalan di Malaysia disebabkan oleh penularan wabak Covid-19:

FASA 1: 18 MAC - 31 MAC 2020 
FASA 2: 01 APR  - 14 APR 2020 
FASA 3: 15 APR  - 28 APR 2020 
FASA 4: 29 APR  - 12 MEI 2020
FASA 5: 13 MEI  -  09 JUN 2020 (PKPB) 
FASA 6: 10 JUN - 31 OGOS 2020 (PKPP)

(PKPB) - Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat
(PKPD) - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan
(PKPP) - Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan


Terdapat 6 fasa yang diperkenalkan kerajaan bersesuaian dengan keadaan semasa dan atas nasihat daripada Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Noor Hisham Abdullah. sepanjang berlangsungnya keenam-enam fasa diatas, banyak kelaziman yang tidak boleh dilakukan ataupun boleh dilakukan mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan. Antaranya ialah:

- Tiada solat Jumaat sepanjang tempoh PKP
- PKP dalam bulan puasa. Tiada bazar Ramadan, tiada terawih di masjid.
- Tiada buffet Ramadan di hotel-hotel seperti tahun-tahun sebelumnya. 
- Tiada sambutan Hari Raya Aidilfitri, tidak boleh balik kampung, tiada kunjung mengunjung.
- Tiada bunyi mercun, tiada yg cedera akibat mercun. 
- Harga minyak jatuh sehingga RM1.25/liter
- Semua pejabat di seluruh Malaysia diarah tutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kerja - kerja dilaksanakan sepenuhnya dari rumah.
- Semua sekolah ditutup dan pendidikan dilaksanakan di atas talian. Kerja sekolah untuk murid dihantar dlm group whatsapp. 
- Penjarakkan sosial sentiasa diutamakan. Bersalam tangan ditukar dgn meletak tgn di dada. 
- Pita pelekat dilekatkan di atas lantai - lantai kedai untuk menentukan jarak selamat 1 meter di antara pelanggan. Beratur hingga berpuluh meter ke luar kedai. 
- Restoran dan kedai-kedai makan ditutup, hanya dibenarkan bungkus dan dibawa pulang sahaja. Food rider ibarat cendawan tumbuh lepas hujan. Ada yg kantoi jual rokok seludup dan ketum. 
- Hanya beberapa orang sahaja dibenarkan berada di dalam kedai.
- Kedai bukan keperluan asas dan perniagaan tidak berkaitan pembekalan makanan diarah tutup.
- Keseluruhan acara dan musim sukan di seluruh dunia dibatalkan serta merta. Aktiviti riadah dan bersenam dalam rumah. 
- Konsert, perlancongan, festival, acara hiburan dibatalkan. Kawasan tumpuan di bukit bintang sunyi sepi yg sblm ini sesak dan padat 24 jam. Ibarat tiada waktu tidur. 
- Majlis perkahwinan dan pelbagai sambutan majlis bersama keluarga dibatalkan. Tp diganti dgn nikah online. 
- Tiada lagi jemaah di masjid dan rumah-rumah ibadat ditutup.
- Tidak dibenarkan perkumpulan 50 orang atau lebih, kemudian diubah kepada 20 org atau lebih, hanya dibenarkan 10 orang atau kurang dari itu juga tidak dibenarkan.
- Taman permainan kanak-kanak ditutup.
- Kekurangan stok penutup muka, gaun,
 dan sarung tangan untuk kegunaan pekerja barisan hadapan.
- Kekurangan alat bantuan pernafasan
 bagi pesakit kritikal.
- Berlakunya pembelian panik sehingga kekurangan alat pembasmian, tiada sabun cuci tangan, tiada cecair pembersih tangan
- Rak-rak di kedai menjadi kosong.
- Kilang-kilang pembuatan, kilang penyulingan dan perniagaan lain telah menukar perkhidmatan mereka dengan membantu menyediakan visors, penutup muka, cecair pencuci tangan dan PPE.
- Kerajaan telah melaksanakan sekatan jalan di setiap kawasan dan tertutup kepada pergerakan yang tidak penting.
- Tiket kapal terbang murah, namun kita tidak boleh keluar melancong.
- Sidang media dari Kementerian Kesihatan di keudarakan setiap hari.
- Kemaskini kes baru, yang telah sembuh dan pesakit yang meninggal dunia dilakukan setiap hari jam 5 ptg. 
- Jalan raya menjadi kosong sunyi sepi tanpa kelibat manusia dan kenderaan selepas jam 8 mlm. 
- Ramai orang memakai penutup muka dan sarung tangan apabila keluar.
- Pekerja perkhidmatan penting menjadi takut untuk keluar rumah.
- Pekerja kesihatan pula, menjadi takut untuk pulang ke rumah dan berjumpa keluarga.
- "Mendatarkan lengkung graf" itulah yang sering dikatakan, bersama dengan kata-kata " Kita lakukan ini bersama" dan "Kita harus menang" 

Media sosial seperti Facebook, Instagram, Whatsapp, Telegram, Skype, Zoom dan lain-lain menjadi medium utama untuk rakyat berhubung. Sesuatu yang kita tidak jangkakan sama sekali.

Hashtag yang 'famous' sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP):

#StayAtHome 
#DudukRumah 
#CoronaVirus
#Covid19
#StaySafe 
#KitaPastiMenang
#KitaJagaKita
#SocialDistancing

Selagi tidak terhasilnya vaksin yang mampu mengekang virus Covid-19 ini, selagi itulah kita perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu. 

Sunday, January 14, 2018

PENGEMBARAAN KE ANGOLA (Part 4)

Hari Isnin waktu aku mulakan tugasan seminggu di Luanda dengan menaiki kereta syarikat yang dipandu oleh seorang warga Angola. Aku masih rasa mengantuk sebab badan belum dapat menyesuaikan diri dengan perbezaan zon masa. Angola adalah 7 jam kebelakang daripada waktu di Malaysia. Bersama driver tersebut seorang lelaki Scotland berusia lewat 50-an yang aku kenal. Dia mengambil aku dan 2 orang lagi member 1 syarikat yang menginap di hotel yang sama dengan aku. 2 orang lelaki warga British yang bekerja sebagai Operation Superintendant dan Technical Manager. Kami berempat kemudiannya dibawa ke Operation Onshore Base office. Adalah penting kami menaiki kenderaan yang telah ditetapkan setiap hari oleh pihak syarikat untuk mengelakkan kami terdedah pada risiko menaiki kereta yang tidak dikenali dan kemungkinan dilarikan. Seperti yang aku beritahu sebelum ni, Angola sebuah negara yang berisiko dan warga asing terdedah pada jenayah jika tidak berhati-hati.


Kalau di Malaysia kita ada Selamat Pagi Malaysia, diorang pun ada...Selamat Pagi Angola.

Suasana depan hotel

Perjalanan dari jalan Av. Cmte. Gika, kami menelusuri jalan menuju ke pejabat yang terletak di jalan R. Cmte. Arguelles. Suasana pagi yang agak sunyi memandangkan pada hari ini sehingga hari Selasa adalah cuti umum (Carnival) di Angola. Carnival adalah satu sambutan seperti yang diamalkan di Brazil dimana mereka akan bergembira dan berarak di jalan utama. Kalau di Brazil terkenal dengan perarakan model-model wanitanya yang separuh bogel tetapi disini sekadar perarakan kereta berhias dan tarian tradisional Angola. Ini antara persamaan yang ketara antara Angola dan Brazil kerana kedua-duanya adalah bekas koloni Portugis. Kedua-duanya mempunyai bahasa rasmi yang sama iaitu bahasa Portugis. Aku pun ada belajar sepatah dua perkataan dalam bahasa Portugis untuk menghormati orang-orang tempatan yang bekerja di Operation Onshore Base office. Aku sampai di pejabat pada pukul 8 pagi dan pejabat kosong! Yang ada Cuma staff warga asing seperti aku dan 3-5
Namun pekerja yang bekerja di Operation Onshore Base office tidak bercuti kerana mereka perlu sentiasa ada untuk membantu operasi mereka yang ditugaskan di Offshore.

 
Suasana sambutan Carnival yang aku rakam dari siaran live TV Angola.


Pada hari Rabu, seperti biasa driver warga Angola datang mengambil kami di lobi hotel. Kali ni perjalanan ke office disajikan dengan pemandangan warga Luanda yang mula keluar bekerja selepas beberapa hari bercuti. Hotel kami di jalan Av. Cmte. Gika terletak di pinggir bandar yang mana terdapat pangsapuri-pangsapuri kos sederhana dan rumah-rumah warga Luanda yang bertebaran seakan-akan tidak tersusun. Rumah-rumah ini aku perhatikan seakan-akan setinggan di P.J atau di Jalan Ampang suatu ketika dahulu. Kereta buatan Korea (Hyundai) dan Jepun (Toyota) menguasai hampir 90% dari kenderaan diatas jalanraya Luanda yang mengamalkan standard pemanduan sebelah kiri (left hand drive). Satu perkara yang menarik adalah boleh dikatakan amat susah nak berjumpa dengan warga Luanda yang bergerak menggunakan motosikal. Kalau bertemu pun cuma sesekali dan selalunya motosikal jenama Vespa (model terkini). Suasana yang tak seperti di Malaysia yang mana hampir setiap rumah pasti memiliki sekurang-kurangnya sebuah motosikal. Warga Luanda yang tak mempunyai kenderaan sendiri akan menaiki van teksi berwarna biru ataupun mereka berjalan kaki sahaja dari rumah ke tempat kerja. Setibanya di office, barulah kelihatan 4-5 orang warga Angola yang bekerja lalu aku memberi ucap selamat dalam bahasa Portugis, Bom Dia!

Rumah-rumah warga Luanda.

Luanda dari atas bangunan office. Kelihatan van biru yang berfungsi sebagai teksi.
* Part last aku akan ceritakan perjalanan pulang dari Angola yang agak tricky.


PENGEMBARAAN KE ANGOLA (Part 3)

Pada pukul 10 pagi, aku dah berada dalam perut pesawat Boeing 777. Pesawat hanya berlepas pada pukul 10.45 pagi dek kerana trafik pesawat di Dubai Airport yang sesak sehinggakan untuk berlepas aku dapat perhatikan banyak pesawat yang ‘beratur’ menunggu giliran untuk berlepas. Didalam pesawat tren penumpang dah berubah yang mana rata-rata penumpang adalah bangsa Afrika dan juga China. Warga China adalah pekerja binaan bagi syarikat-syarikat China yang sekarang ini antara pelabur luar utama bagi kerajaan Angola.  Tempat duduk aku ditengah-tengah pesawat dan tempat duduk sebelah adalah kosong dan seorang penumpang warga Afrika duduk selang 1 tempat duduk belah kiri aku. Aku perhatikan penumpang mengisi hampir 80% daripada kapasiti pesawat. Perjalanan dari Dubai ke Luanda mengambil masa 7 jam. Aku sampai di lapangan terbang Quatro de Fevereiro, Luanda pada pukul 5 petang waktu Angola.

Suasana dalam pesawat ke Luanda

LCD monitor peneman 7 jam perjalanan


Lapangan terbang ni aku perhatikan tidaklah secanggih Dubai airport. Penumpang turun dari pesawat dengan tangga dan 2 buah bas dah sedia menunggu dilandasan. Penumpang kemudiannya akan menaiki bas berhawa dingin dan dibawa ke balai ketibaan yang jaraknya lebih kurang 500 meter dari pesawat. Lapangan terbang Quatro de Fevereiro adalah lapangan terbang awam yang turut berfungsi sebagai lapangan terbang tentera maka kawalan keselamatannya agak ketat dan kita tidak boleh sewenang-wenangnya merayau dalam kawasan airport. Sampai di balai ketibaan, kami perlu beratur untuk pemeriksaan passport dan pemeriksaan vaksinasi yellow fever. Semasa dikaunter imigresen, pegawai bertugas akan memeriksa passport dan gambar kita akan diambil. Seterusnya macam di airport lain juga, lepas ambil bagasi aku perlu melepasi pemeriksaan bagasi. Waktu aku beratur dengan majoriti warga China, ada 1 keluarga bangsa Afrika yang terlewat dan berada di belakang tiba-tiba dibenarkan memotong barisan oleh pegawai bertugas. Mungkin mereka memberi keutamaan pada bangsa Afrika. African First. Mungkin.

Lepas pemeriksaan keselamatan, aku terus ke lobi ketibaan dan disana aku nampak ada seorang lelaki memegang logo syarikat aku bekerja. Aku terus menghampiri lelaki tersebut dan dia adalah orang Filipina yang juga satu syarikat dengan aku. Aku tak ingat nama dia. Ada juga seorang wanita kulit putih yang juga bekerja di syarikat yang sama. Wanita kulit putih ni bernama Carolina dari Brazil tapi travel dari Kuala Lumpur. Mungkin 1 pesawat dengan aku tapi aku tak perasan.

Bahasa Portugis dimana-mana


Tak lama kemudian datang seorang lelaki bangsa afrika (wakil syarikat untuk mengambil staf di airport) dan kami dibawa ke sebuah van di kawasan parking. Didalam van ada seorang lagi driver bangsa afrika yang setia menunggu. Kami sememangnya diwajibkan untuk hanya berurusan dengan wakil yang telah ditetapkan untuk mengelak sebarang kejadian yang tak diingini memandangkan Angola adalah sebuah negara yang dikategorikan sebagai berisiko. Seterusnya kami dibawa ke hotel penginapan masing-masing. Aku check-in di Hotel Alvalade yang terletak di Av. Cmte. Gika, Luanda. Ia sebuah hotel yang setaraf dengan hotel 4-5 bintang di Malaysia. Tak jauh dari hotel ni ada sebuah supermaket iaitu supermarket Kero Gika tapi aku tak pernah ada kelapangan untuk berkunjung sebab kerja aku pergi pagi balik pun hari dah gelap. Bagi warga asing terutamanya dari Asia/Eropah (yang fizikalnya berbeza dengan bangsa afrika), adalah sangat tidak digalakkan untuk bersiar-siar diwaktu malam atas faktor keselamatan. Aku juga perasan ada sebuah hospital tak jauh dari hotel ini, ia adalah Clinica Girassol. Selesai check-in, aku naik ke bilik dan berehat. Bilik aku ada balkoni yang mengadap betul-betul ke Lautan Atlantik Selatan dan waktu tu matahari sedang terbenam. Aku terus melepak di balkoni memerhatikan gelagat warga Luanda pulang dari kerja ditemani suasana langit petang matahari terbenam di ufuk lautan Atlantik buat pertama kali.

Dari balkoni hotel. Lautan Atlantik Selatan lebih kurang 3km dihadapan


Matahari terbenam di Luanda


Thursday, January 4, 2018

PENGEMBARAAN KE ANGOLA (Part 2)

Seperti yang dijadualkan, pada 26 February 2017 pukul 2 pagi aku berlepas dari KLIA (KUL) dengan pesawat Airbus A380 Emirates ke menuju ke Dubai. Serius aku kagum kejap sebab ini la kali pertama aku naik Airbus A380, pesawat penumpang yang terbesar di dunia! A380 ni double storey deck yang mana deck atas adalah untuk kelas perniagaan (bussines class) dan di bawah adalah kelas ekonomi (economi class). Aku yang bukan level-level bos ni dah confirm la lepak kat kelas ekonomi. Dapat naik Airbus A380 pun dah cukup bagus.


Ke KLIA menggunakan ERL


 Perjalanan ke Dubai memakan masa 6 jam dan kebosanan sepanjang penerbangan tu tak dapat nak describe macam mana. Rasanya macam terkurung dalam ruang terkurung yang mana kita tak boleh nak keluar kejap ambil angin dikala bosan. Mujur juga ada disediakan personal LCD monitor yang ada akses ke berpuluh movie dan berpuluh rancangan TV. Aku layan 4 movie sebelum tiba di Dubai. Itu pun ada waktu aku terlelap juga sebab dah penat dan mengantuk. Aku tiba di Dubai Airport (DXB) pada pukul 4 pagi waktu Dubai bersamaan pukul 8 pagi waktu Malaysia (waktu Dubai 4 jam ke belakang). Di Dubai Airport aku kena 6 jam transit sebelum boleh boarding flight ke Luanda pada pukul 10 pagi waktu Dubai bersamaan pukul 2 petang waktu Malaysia). Lepas selesai pemeriksaan keselamatan di Terminal 3 (terminal khas untuk pesawat Emirates), aku terus pergi ke kaunter pertanyaan untuk bertanya nombor gate pelepasan untuk flight Emirates ke Luanda. Penjaga kaunter bukan pak Arab okey, majoriti pekerja di Dubai Airport adalah orang Filipina. Ini menyebabkan aku tak rasa macam kat negara arab tapi rasa macam kat negara Asia Tenggara. Bila dah tau nombor gate, aku lepak sekejap kat tempat duduk yang disediakan. Ada beratus (mungkin beribu) tempat duduk yang disediakan di Dubai Airport. Aku switch on smartphone dan guna wifi percuma yang disediakan kat Dubai Airport ni. Wifi percuma cuma untuk setengah jam sahaja tapi ada cara nak guna wifi ni selama mana yang boleh sampai muntah..haha. Senang, untuk 1st time guna selama 30 minit sampai dia akan auto disconnected. Off wifi dan on kan semula, scan wifi dan select wifi Dubai Airport. Login semula dan connection disambung kembali. Wifi ni yang mengurangkan kebosanan menunggu selama 6 jam. Selain layan whatsapp dengan wife dan kawan-kawan, aku juga ambil kesempatan merayau-rayau sekitar Terminal 3 yang diiktiraf bangunan terbesar di dunia dari segi keluasan lantai iaitu seluas kira-kira 18,440,000 sq ft. 


Dua tingkat full dengan kedai-kedai menjual barangan bebas cukai sepanjang-panjangnya. Lenguh kaki berjalan. Kedai-kedai yang berada berhampiran dengan pintu ketibaan aku perhatikan tidak sesak dengan manusia. Kerusi-kerusi yang disediakan banyak yang kosong. Situasi sebaliknya berlaku di ruang pelepasan dimana lebih banyak kedai dan restoren makanan segera. Ramainya umat manusia seperti di pasar malam Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Walaupun kedai-kedai disini adalah kategori bebas cukai tetapi harganya agak mahal. Ditambah lagi dengan kadar tukaran matawang ringgit agak lemah iaitu USD 1 bersamaan MYR 4.5 dan jika ditukar ke UAE Dirham, MYR 1 bersamaan dengan AED 0.8. Jam 9 pagi aku terus ke gate pelepasan yang terdapat di Terminal 3 untuk bersedia ke Luanda, Angola.



* bersambung part 3

PENGEMBARAAN KE ANGOLA (Part 1)

Trip ni sebenarnya dah hampir 1 tahun yang lepas tapi baru ada kesempatan nak upload.


Lokasi Angola di benua Afrika

Pada 26 February 2017 hingga 5 March 2017 yang lepas aku berpeluang menjejakkan kaki ke sebuah negara Afrika yang bernama Angola. Pengembaraan ini bermula bila bos aku bagi tugas untuk menyiapkan jadual projek (project schedule) daripada pihak operation di Angola untuk sebuah FPSO yang terletak di perairan negara itu (Atlantik Ocean). Bos aku dah arahkan aku sejak dari bulan Oktober 2016 lagi tapi aku minta tangguh sebab aku dah booking trip hiking ke Gunung Kinabalu, Sabah. Lepas trip Gunung Kinabalu, aku masih tak bagi kata putus kat bos aku untuk trip ke Angola ni sampai la pada awal 2017 dia hantar email supaya aku ready untuk trip ke Angola. Aku betul-betul tak bersedia dengan passport yang dah expired & skop kerja yang tak berapa jelas lagi waktu tu.

Perkara pertama yang aku kena buat bila paperwork ke Angola dah dimulakan oleh secretary projek adalah ambil suntikan vaksin Yellow Fever. Suntikan vaksin ini wajib diambil oleh pelawat yang ingin masuk ke Angola disebabkan wabak Yellow Fever agak teruk disana (seperti Denggi di Malaysia). Klinik yang memberi suntikan vaksin ini akan menyerahkan sekeping booklet berwarna kuning yang mengesahkan kita telah mengambil vaksin Yellow Fever. Kegagalan menunjukkan booklet ini sewaktu ketibaan di Angola akan menyebabkan kita dihalang dari memasuki Angola. Selain suntikan Yellow Fever, pelawat yang masuk ke Angola juga disarankan mengambil dos Malarone iaitu tablet yang mesti dimakan sekali sehari bermula 2 hari sebelum sampai ke Angola. Pengambilan tablet Malarone perlu diteruskan sehingga 7 hari selepas kembalinya kita di tanah air untuk memastikan kita benar-benar ‘clear’ dari risiko terkena Malaria. Apa itu Malarone? Malarone adalah tablet untuk menghindar dari terkena jangkitan demam Malaria yang mana Angola adalah negara yang berisiko untuk kita dijangkiti Malaria. Disebabkan kedua-dua penyakit ini adalah bawaan nyamuk, aku ambil satu lagi langkah pencegahan iaitu dengan membawa bersama insect repellant dalam bentuk semburan cecair. Adalah juga digalakkan bagi pelawat macam aku ni untuk mendapatkan Travel Medical Kit dari klinik berhampiran sebelum berangkat ke Angola (atau mana-mana negara yang berisiko). Didalam kotak Travel Medical Kit terdapat beberapa jenis ubat-ubatan ringkas seperti pil paracetamol, pil cirit birit dan lain-lain. Bagi mengelakkan sebarang risiko disoal-siasat sewaktu pemeriksaan keselamatan di airport nanti (dilihat seperti pil-pil dadah), aku sarankan kotak tersebut disimpan didalam ‘check-in luggage’.


Pil Malarone


Selesai urusan suntikan vaksin, aku teruskan dengan langkah berikutnya iaitu ‘renew’ semula passport aku yang dah expired. Warganegara Malaysia (dan juga beberapa negara lain) yang ingin memasuki Angola wajib mempunyai visa. Sebagai syarat untuk visa diluluskan, kedatangan kita ke Angola mestilah diuruskan oleh pihak yang berada di Angola dengan alasan yang kukuh seperti melancong, trip perniagaan atau bekerja. Kedutaan Angola takde di Malaysia maka urusan permohonan visa perlu dirujuk pada kedutaan Angola di Singapura. Passport aku yang dah siap renew telah dipos ke kedutaan Angola di Singapura dan dalam masa 2 minggu passport akan dipulangkan semula. Visa dilekatkan di mukasurat passport dan setiap visa lawatan valid untuk jangkamasa 40 hari sahaja. Segala urusan berkaitan tiket penerbangan dan penginapan diuruskan oleh secretary projek. Dari Malaysia, terdapat 2 pilihan syarikat penerbangan yang biasanya digunakan untuk ke Angola iaitu Emirates dan Ethiopian Air. Jika kita pilih Emirates, penerbangan akan bermula dari KLIA – Dubai – Luanda (Angola). Bagi Ethiopian Air pula, KLIA – Bangkok (Thailand) – Addis Ababa (Ethiopia) – Luanda (Angola). Aku pilih untuk menggunakan penerbangan Emirates atas faktor seperti makanan yang dihidangkan dalam pesawat (makanan halal) dan juga pesawat yang lebih selesa mengikut kata member-member yang ada pengalaman.

Visa Angola (atas faktor privasi aku amik gambar sikit top portion)

* bersambung ke siri 2

Wednesday, July 27, 2016

EKPEDISI GUA BATU MALOI



Kuala Lumpur - Senawang


Bertolak dari Taman Sg. Besi, Kuala Lumpur pada pukul 5.30 pagi menuju Senawang untuk mengambil Miji di Masjid Taman Tuanku Jaafar (TTJ) Senawang, Seremban. Sampai di Masjid TTJ pada pukul 6.30 pagi, aku tengok Miji dahpun sampai dan sedang melepak di beranda masjid dengan muka tawadduk, mungkin tengah berzikir. Tanpa berlengah lagi aku masuk ke masjid untuk menunaikan solat Subuh. Usai menunaikan solat Subuh, aku bertemu Miji di beranda masjid, bertanya khabar dan kami berjalan menuju ke kereta yang aku parkir di halaman masjid. Kami kemudiannya memulakan perjalanan menuju ke Bandar Tampin melalui Jalan Seremban – Tampin.


Tampin – Air Mawang


Kami sampai di Bandar Tampin pada pukul 7.10 pagi dan terus mencari mana-mana kedai makan untuk mengambil sarapan sebagai sumber tenaga sebelum meredah Gua Batu Maloi nanti. Akhirnya kami singgah di kedai makan Iman Imani yang terletak berselahan dengan Sekolah Kebangsaan Tampin. Aku order sekeping roti telur dan nasi lemak bersama teh tarik. Diatas meja kecil tak jauh dari meja makan kami, aku lihat ada beberapa jenis kuih-muih yang seolah-olah memanggil untuk dijamah. Disebabkan perut yang seolah-olah minta diisi lagi, aku pun mengambil beberapa keping kuih Keria (ada sesetengah tempat panggil Kuih Gelang – sejenis kuih yang diperbuat dari tepung dan ubi keledek, diuli dan dibentuk seperti donat, digoreng dan disalut dengan gula). Selesai mengisi perut, Miji dengan gaya bos  kilang papan memanggil tokey kedai minta kira semua. Hah…itu yang best, breakfast pagi ni Miji yang payung. Alhamdulillah. Hahah..


Gua Batu Maloi


Dari kedai makan tadi kami meneruskan perjalanan ke Gua Batu Maloi. Aku sebenarnya tak pernah tau yang kat Tampin ni ada gua yang boleh diteroka (aku berasal dari Gemas, sebuah pekan kecil didalam Daerah Tampin). Namun begitu, lokasi sebenar Gua Batu Maloi tidaklah aku ketahui sehinggalah aku merujuk pada Google Maps. Gua Batu Maloi terletak di Kampung Betong, tidak jauh dari Pekan Air Mawang, Johol, Negeri Sembilan. Dek kerana simpang masuk yang agak mengelirukan ditambah dengan ‘technical error’ aplikasi Waze smartphone Miji, kami tersalah masuk simpang. Mujur aku dapat mengingat kembali simpang masuk ke Kampung Betong. Kebiasaannya sebelum pergi ke detinasi yang aku tak pernah datang, aku akan study dulu lokasi menggunakan Google Maps. Percubaan kedua kami berjaya menemui simpang yang dimaksudkan. Pada pukul 8.00 pagi kami selamat sampai di kawasan rekreasi Gua Batu Maloi. Aku dapati ramai peserta eksplorasi dah berada di kawasan rekreasi ini dan rata-ratanya remaja berusia awal 20-an sedangkan aku dan Miji dah upgrade ke geng 3 series..hahah. Aku terus parkir kereta di satu tempat kosong bersebelahan. Aku perhatikan ada beberapa kemudahan yang dibina oleh kerajaan Negeri Sembilan seperti tandas lelaki dan tandas wanita, surau dengan rekabentuk moden yang selesa dan sebuah foyer berbumbung untuk aktiviti indoor.


Kami kemudiannya memeriksa kelengkapan untuk dibawa semasa ekplorasi dan memasukkannya ke dalam beg waterproof 30L yang aku bawa. Tips Pertama: Jangan bawa beg yang besar semasa meneroka gua yang sempit kerana ia akan menjadi beban & menyukarkan pergerakan semasa menyelit. Paling bagus berlenggang sahaja ataupun gunakan beg waterproof yang kecil untuk diisi dengan bekalan air, beg duit, smartphone dan lain-lain.


Kami menunggu lebih kurang 15 minit sebelum ketua eksplorasi, Nadzmi @ Nami tiba bersama peserta-peserta yang lain. Kami kemudiannya berkumpul di satu tempat lapang untuk sesi taklimat dan regangan badan. Aku terkejut dengan jumlah peserta yang ramai sedangkan group kami ada lebih kurang 25 orang peserta sahaja. Rupa-rupanya penunjuk arah telah menggabungkan 2 group sekaligus untuk eksplorasi kali ini. Group yang satu lagi adalah para pelajar UiTM Melaka yang berjumlah lebih kurang 30 orang. Maka jumlah keseluruhan peserta adalah seramai lebih kurang 60 orang termasuk penunjuk arah. Setelah melakukan headcount, sesi regangan badan dilakukan selama 10 minit. Tips Kedua: Sesi regangan badan amat penting sebelum melakukan aktiviti eksplorasi untuk mengelakkan kekejangan otot dan sebagainya.


Selesai sesi regangan badan, kami memulakan eksplorasi. Aku memeriksa semula headlamp yang aku beli di Kenanga Wholesale, K.L. Tik…tik..tik…butang on/off aku tekan banyak kali tapi LED tak menyala juga. Aku pulas penutup bateri untuk mengeluarkan bateri. Miji offer aku pakai bateri spare dia yang kebetulan sama spesifikasinya. Walaupun bateri dah ditukar, LED masih tak menyala. Aku mula hot sebab dalam eksplorasi gua ni, headlamp adalah equipment yang amat penting untuk menyuluh laluan yang gelap gelita. Aku cuba goyang-goyangkan kabel yang menghubungkan LED dan silinder bateri dan tak semena-mena kabel tu tercabut. Rupanya kabel dalam silinder bateri yang tercabut dan puncanya adalah soldering point pada kabel yang ala kadar. Aku dah bayangkan kegelapan dalam gua nanti. Tips Ketiga: Pastikan equipment penting seperti headlamp/torchlight diperiksa banyak kali supaya tidak berlaku masalah semasa eksplorasi. Pastikan juga equipment yang dibeli berkualiti dan tahan lasak.


Permulaan eksplorasi adalah dengan memasuki anak sungai (ya…anda akan basah selepas bermula beberapa langkah – disini pentingnya beg kecil waterproof).  Lebih kurang 10 langkah didalam anak sungai, aku sudah terendam separuh badan. Kemudiannya naik ke darat semula dan selang 20 meter kami sampai di pintu gua. Dek kerana peserta yang ramai, kami terpaksa beratur untuk memasuki gua yang gelap dan bergilir-gilir melepasi ruang-ruang sempit di dalam gua. Penerokaan gua ini boleh dikatakan 90% memerlukan kita berendam di dalam air. Ada sesetengah tempat memerlukan kita meniarap sampai badan 90% terendam didalam air. Disebabkan aku membawa muatan beg sandang waterproof saiz 30L dibelakang, pergerakan aku untuk menyelit pada ruang yang sempit agak terbatas. Aku terpaksa menghulurkan beg melepasi ruang sempit terlebih dahulu sebelum aku sendiri melepasinya. Walau bagaimanapun, di sesetengah tempat, Miji akan membantu memegang beg sementara aku berhempas pulas melepasi ruang sempit tersebut.


Terdapat 24 check point yang perlu dilalui oleh para peserta dan jarak antara checkpoint adalah berdekatan antara atu sama lain. Terdapat satu ruang seakan dewan yang gelap gelita dan dipenuhi kelawar. Tahi kelawar memenuhi permukaan batu di dalam ruang tu. Ada 2-3 tempat yang memerlukan peserta menggunakan tali yang disediakan untuk menyeberang ataupun untuk mendaki batu curam. Sesetengah tempat pula, kemahiran memanjat dan bergayut pada batu adalah suatu kelebihan. Disebabkan headlamp aku yang rosak dan tak boleh digunakan, sepanjang penerokaan gua aku terpaksa meraba dalam gelap berpandukan cahaya peserta-peserta lain. Akan tetapi secara keseluruhannya, cahaya headlamp peserta di belakang amat membantu. Penunjuk arah kemudiannya membawa kami ke satu ruang gelap yang terdapat sebongkah batu yang terdapat imej seakan-akan manusia sedang bertafakur. Imej ini terjadi hasil daripada titisan-titisan air yang menitik diatas permukaan batu lalu membentuk imej tersebut. Mengikut cerita penunjuk arah, seorang sami Buddha dari Thailand pernah bertafakur di dalam ruang tersebut untuk mencapai hasrat. Ruang tersebut kami tinggalkan untuk meneruskan penerokaan berikutnya.


Penerokaan gua pada hari itu diteruskan sehingga kami tiba ke checkpoint terakhir yang terdapat di bahagian hulu sungai. Penunjuk arah memberikan arahan supaya kami berhenti rehat sebelum kami meneruskan perjalanan balik ke point mula. Setelah berehat lebih kurang 15 minit kami beramai-ramai turun menuruni denai hutan. Di sebelah kanan kami ada kebun-kebun sayur dan dusun penduduk kampong. Di pertengahan jalan, kami ditunjukkan dengan sebuah batu besar yang tingginya lebih kurang 10 meter bersalut akar-akar kayu yang dipanggil Batu Maloi. Kononnya suatu masa dahulu jika ada majlis kenduri-kendara, penduduk kampong boleh meminjam pinggan mangkuk dari orang bunian melalui sebuah lubang yang terdapat diatas batu besar tersebut. Namun disebabkan  terdapat penduduk kampong yang tidak cermat menggunakan pinggan mangkuk yang dipinjam, akhirnya orang bunian tidak lagi mahu memberi pinjam sehinggalah ke hari ini.
Selesai sesi mendegar cerita, kami meneruskan perjalanan dan akhirnya sampai ke checkpoint mula iaitu kawasan parking kereta. Sengal-sengal badan tak payah cerita sebab aku tak pernah join aktiviti eksplorasi gua ni. Inilah kali pertama. Aku dan Miji ambil masa setengah jam berehat sebelum bergerak ke tandas awam untuk mandi membersihkan badan yang basah dengan peluh dan air sungai yg berkeladak serta berpasir. Sedangkan Nadzmi and the geng terus berkubang dalam kolam takungan air.


Sebelum Pulang


Sungguh malang nasib aku, tandas awam langsung takde air. Kepala paip semua hilang, pasir merata-rata, mangkuk tandas dan tangki semua rosak. Ini yang aku cakap negara kita punya fasiliti kelas pertama tapi sikap kita masih di tahap kelas ke tiga. Ada kemudahan yang disediakan habis dijahanamkan tanpa berfikir itu harta awam yang akan digunakan oleh pengunjung lain. Tips Keempat: Sila jaga kemudahan awam yang disediakan demi kesenangan kita bersama. Aku rasa ada baiknya kerajaan negeri memberi kebenaran pada JKKK Kampung Betong untuk mengenakan bayaran pada pengunjung demi menjaga kemudahan yang disediakan supaya sentiasa dalam keadaan baik. Disamping hasil kutipan boleh digunakan untuk aktiviti-aktiviti kampong dan juga mencantikkan lagi landskap taman rekreasi. Kedengaran cadangan aku ni agak kejam tapi ini yang aku rasa terbaik dengan mengambil contoh Kampung Senibong, Permas Jaya, Johor bahru. Mereka mengenakan bayaran parking pada pengunjung restoren seafood yang terdapat di dalam kampong mereka. Duit hasil kutipan tadi mereka gunakan untuk naiktaraf surau, ruang letak kereta dan mengindahkan landskap kampong.


Kesudahannya aku terpaksa gunakan 3 buah botol mineral water 1.5 liter yang memang aku sengaja simpan dalam kereta. Air dari pili di tepi surau aku isikan penuh ke dalam ketiga-tiga botol dan aku bawa masuk ke dalam tandas untuk mandi ala kadar, cukup syarat bilas badan dari kekotoran dan pasir yang melekat. Selesai mandi, Miji kemudiannya mengisi semula botol-botol tadi dengan air untuk dia pulak mandi. Setelah kami selesai, kami pun berangkat pulang. Nadzmi masih lagi berendam dengan geng nya. Kami hanya sempat melambai tangan.


Memandangkan jam menunjukkan pukul 1 tengahari, aku dan Miji ambik keputusan singgah makan di Restoren Nasi Ayam Gemas yang terletak bersebelahan dengan pejabat RISDA Tampin. Makan tengahari aku belanja sebab tadi Miji dah payung breakfast. Perut pun dah kenyang, maka kami teruskan perjalanan sampai ke Tesco Seremban 2. Aku drop Miji kat sana dan aku berseorangan meneruskan perjalanan pulang ke Sg. Besi.


Kesimpulan


Ini satu pengalaman baru buat aku dan point permulaan aku untuk menceburkan diri dalam aktiviti outdoor. Meneroka Gua Batu Maloi adalah satu aktiviti yang menyeronokkan dan satu senamam badan yang bagus. Disamping kita dapat menenangkan fikiran dengan aktiviti yang dekat dengan kehijauan hutan dan alam semulajadi. Sampai jumpa lagi untuk trip yang berikutnya. Gunung Datuk.


 


 

Monday, June 1, 2015

FASILITI KELAS PERTAMA, MENTALITI KELAS KETIGA


Picture taken from "garisan kuning by Michelle Tan"


Sejak bekerja di Kuala Lumpur, method pengangkutan aku ke tempat kerja telah berubah. Dulu aku beli Yamaha LC135 untuk berulang alik dari Bandar Penawar ke Pasir Gudang. Motor kapcai, macam mana modified pun takkan jadi laju macam Kawasaki Z800. Maka setiap kali aku sampai ke tempat kerja aku akan penat sebelum berkerja kerana menunggang jarak jauh (80km pergi balik). Berdepan dengan beberapa siri kemalangan depan mata (ada yang cedera parah & ada yang meninggal dunia) maka aku beralih ke kereta. Memandu kereta jarak jauh lebih selesa tetapi aku perlu membayar kos tol Penawar - Cahaya Baru - Penawar sebanyak RM11.80 sehari (RM59 seminggu tak termasuk kos minyak kereta 1800cc aku yang mencecah RM100 seminggu. Maka dalam sebulan anggaran RM600 lebur diatas jalan.

Di Kuala Lumpur, dengan jarak yang tak terlalu jauh dari rumah in law ke K.L Sentral maka komuter adalah pengangkutan yang paling efisyen. Murah & selamat. Walaupun terpaksa bersesak-sesak dan mengadap macam-macam kerenah manusia. Manusia di dalam negara Malaysia, khususnya Kuala Lumpur yang fasiliti bertaraf dunia tapi kita masih berfikiran kelas ketiga. Ini adalah pemerhatian aku sehari-hari. Sesiapa yang tak setuju, terasa hati dan sewaktu dengannya boleh tutup blog aku & baca blog Beautifulnara, Oh bulan dan sewaktu dengannya. Pemerhatian aku berlegar di sekitar stesen komuter, KL Sentral.

Perkhidmatan KTM Komuter bermula sekitar Ogos 1995 sebagai salah satu alternatif pada penduduk Lembah Klang yang setiap hari berdepan kesesakan lalu lintas (walaupun sehingga sekarang pda tahun 2015, masalah traffic jam ini tidak pernah selesai). Kemudiannya wujud kemudahan lain yang seumpamanya wujud dengan lebih banyak akses ke kawasan-kawasan penempatan atau bandar sekitar Kuala Lumpur. Antaranya ialah KL Monorail, LRT, Star LRT dan MRT yang sedang rancak dijalankan pembinaannya. Malaysia antara negara ASEAN yang mempunyai kemudahan bertaraf dunia ini.

Namun begitu, kita sebagai pengguna di Malaysia agak selfish atau pentingkan diri sendiri apabila menggunakan kemudahan awam ini. Antara yang dapat diperhatikan ialah:

1. Potong 'Q'

Sering dilakukan oleh golongan pakcik/makcik & uncle/aunty dan segelintir anak muda. Katakan train berikutnya tiba pada pukul 5.30 petang. Pengguna yang tiba awal akan beratur di garisan yang ditetapkan (di kiri & kanan pintu masuk komuter - ada marking yang jelas berwarna kuning disediakan oleh pihak KTMB). Pengguna yang sampai kemudian akan beratur dibelakang pengguna yang sampai awal tadi. Ya betul mereka beratur pada awalnya tetapi secara pantas memotong ke depan apabila train sampai. Nak sound direct nanti kata kurang ajar pada orang yang lebih tua tapi itu hakikatnya. Pada yang muda, aku andaikan masing-masing berpendidikan tinggi yang tak sepatutnya berkelakuan sebegitu tetapi ada juga. Yang paling best, dah la potong Q tapi muka macam orang tak bersalah. Memang #jilake.

2. Tiada Belas Ehsan

OKU, warga emas & ibu mengandung antara golongan yang perlu diberi keutamaan tempat duduk didalam train. Secara keseluruhannya bolehlah aku katakan orang kita agak prihatin pada golongan tadi. Namun masih ada juga yang hati kering buat tak tau. Dia boleh buat dek je gaya-gaya pemikir falsafah sedang bermonolog walaupun ada ibu mengandung berdiri didepan mata.

3. Berebut

Ini kesalahan yang orang potong Q akan buat selepas dia dengan muka poyo berjaya potong Q. Berebut masuk train dikala penumpang dari dalam train yang nak keluar belum sempat nak jejakkan kaki ke platform. Sekali lagi, modal muka poyo digunakan dengan menyondol semacam badak sumbu mabuk untuk mendapatkan seat kosong didalam train. Kesian pada penumpang yang nak keluar tapi tak semena-mena disondol masuk. Rumus calculation dia senang je, tak perlu pandai Matematik Tambahan. Tak perlu degree Engineering pun. Pertama, sila beratur & siapa yang didepan akan beratur masuk ke dalam train dahulu sebab dia yang sampai dahulu. Pada yang sampai kemudian sila beratur dibelakang sebab awak sampai lambat & automatik awak akan masuk ke daam train selepas orang yang terdahulu masuk. Kalau train full, sila tunggu train yang seterusnya. "eh mana boleh, aku nak cepat sampai rumah"...hello brader/sister, orang lain pun nak cepat juga. Semua orang penat nak balik rumah. Tapi kamu manusia, ada akal, ada kebijaksanaan, ada adab....takkan nak jadi macam kambing masuk kandang.

Kadang-kadang aku rasa patut ada polis yang garang untuk disiplinkan penumpang-penumpang yang terjal ni. Kasi hambat pada mereka yang tak beratur & yang berebut. Ya, nampak kejam & macam mengajar budak kecil tapi itu realitinya. Segelintir orang kita memang macam budak kecil. Mentaliti tak sama level dengan fasiliti terbaik yang kita ada. Aku & kamu, mari berubah..

Friday, November 21, 2014

DARI BANDAR PENAWAR KE KUALA LUMPUR


Dah tiga bulan sejak aku meninggalkan kerja di company lama untuk berhijrah ke company baru. Aku cuba keluar dari zon selesa untuk mencabar diri. Bolehkah aku survive di persekitaran baru yang pastinya berlainan. Kalau dulu aku kerja bangun pagi pukul 6 pagi bersiap ke tempat kerja dengan motor LC135 sejauh 100km pergi balik. Sekarang aku bangun pukul 6.30 pagi driving sejauh 5km ke stesen komuter Salak Selatan.  Komuter sampai kadang-kadang lari dari jadual. Lebih kurang pukul 8 pagi aku dah sampai di K.L Sentral. Menapak dari K.L Sentral ke Platinum Sentral ambil masa sekitar 5 minit saja. Sebenarnya Platinum Sentral ni bangunan sebelah K.L Sentral.

Sejak 3 bulan lepas komuter menjadi teman baik aku. Seminggu pertama memang aku rasa janggal dengan sesak susuk tubuh manusia dalam perut komuter tapi lama kelamaan aku jadi biasa. Macam-macam perangai yang aku lihat depan mata. Dari putih gebu peha gadis cina pakai skirt sampai la ke wajah-wajah makcik pakcik tua. Dari pakaian pejabat yang kemas sampai la ke fesyen seluar senteng pakai kasut tak berstokin. Dari yang berbaju sendat macam tak pakai baju sampai la yang berpurdah. Dari bau perfume semerbak harum satu komuter sampai la bau perit ketiak Bangla. Semua tu perlu dihadapi untuk mencari sesuap nasi.

Benda ni semua aku akan hadapi mungkin untuk 2-3 tahun lagi bergantung pada rezeki. Aku harap aku cukup tabah. Aku harap aku tak hanyut dengan godaan bandar metropolitan yang serba serbi perlu duit bernama Kuala Lumpur.

PENGEMBARAAN KE ANGOLA (Final)

Part akhir siri pengembaraan ke Angola ni dah lama aku fikirkan untuk di’publish’ ke dalam blog. Sela masa 2 tahun selepas part 3 disia...